Ada peniaga jual daging melebihi harga ditetapkan - Salahuddin
Perkara itu didedahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang membuat pemeriksaan mengejut di pasar berkenaan pada Jumaat.
"Saya sengaja datang dan tinjau di pasar ini kerana dapat banyak maklumat mengenai harga (barangan) (di sini) yang kadang kala sangat tidak berpatutan.
"Betul, ramai warga asing (Singapura) yang membeli di sini, kerana berdekatan dengan kawasan sempadan kita, jadi saya pergi meninjau, melihat sendiri, memang ada gerai-gerai yang menjual daging kerbau import yang tidak mengikut harga yang ditetapkan di bawah skim harga maksimum,” kata beliau kepada pemberita selepas pemeriksaan di pasar itu.
Beliau berkata, contohnya harga kerbau import sepatutnya dijual dengan harga RM20 sekilogram tetapi ada peniaga yang menjual hingga RM24 sekilogram.
Selain itu, Salahuddin berkata, ada juga segelintir peniaga yang masih gagal meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual, yang juga merupakan satu kesalahan.
"Jadi ini sangat saya kesalkan dan saya harap pegawai akan dapat bertindak cepat pada hari ini, supaya rakyat dapat berbelanja dengan harga yang telah kita tetapkan,” kata Salahuddin.
Ahli Parlimen Pulai itu juga telah mengarahkan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya bertindak cepat bagi memastikan peniaga terbabit tidak mengulangi kesalahan.
"Jadi kalau (peniaga mengulangi kesalahan yang sama) secara berulang-ulang, pegawai KPDN tidak akan berkompromi dan akan ambil tindakan tegas ke atas peniaga sebab kita (kerajaan) telah ingatkan banyak kali.
"Memang Pasar Awam Larkin Sentral ini KPDN akan ambil perhatian serius kerana ia kawasan tumpuan warga asing yang berbelanja di sini dan ini akan menjadi satu masalah kepada penduduk tempatan yang juga berbelanja di sini. Jadi saya rasa kita harus tegas,” katanya. - Bernama. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!