Pegawai ditahan: Imigresen serah kepada SPRM siasat
SHAH ALAM - Penahanan dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh dilakukan hasil perkongsian maklumat strategik antara jabatan terbabit bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya telah mengesan terdapat dakwaan pegawainya yang bertugas di Dhaka, Bangladesh menerima rasuah melibatkan pengeluaran visa luar negara kepada rakyat negara tersebut untuk memasuki Malaysia.
Menurutnya, imigresen kemudian telah mengarahkan kedua-dua mereka kembali ke Malaysia untuk membantu siasatan.
"Hasil maklumat tersebut telah disalurkan kepada SPRM untuk tindakan dan siasatan sehingga berlaku penahanan dua pegawai tersebut pada 17 April lalu.
"Imigresen telah menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan imej jabatan, menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan kesalahan ini.
"Kerjasama strategik bersama SPRM juga akan diteruskan bagi memastikan jabatan ini sentiasa telus dalam menangani sebarang unsur rasuah serta amalan tidak berintegriti," ujarnya.
Pada Khamis, Kementerian Luar mengesahkan penahanan dua pegawai terbabit iaitu lelaki dan wanita.
Pegawai terbabit kemudian direman tiga hari bermula 18 April untuk siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!