Sederhana sambut Aidifitri elak penyelewengan, ketirisan masa hadapan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sambutan Aidilfitri pasca pandemik ini wajar menjadi peluang untuk seluruh rakyat mempraktikkan nilai integriti dengan kesederhanaan dan rasa syukur dalam usaha menghentikan 'wabak' rasuah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, beraya dengan bersederhana menunjukkan keupayaan dan literasi kewangan yang tinggi.

Menurutnya, beban perbelanjaan yang diurus dengan baik, memberi peluang untuk setiap individu berkongsi rasa dan menjadi prihatin kepada sesama sendiri.

"Kesederhaan berupaya memupuk tanggungjawab sosial dan nilai kewarganegaraan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

"Penawar kepada wabak ini adalah membangunkan revolusi nilai yang menjadi amalan dan memerangi sikap tamak, menunjuk-nunjuk, membazir dan boros yang natijahnya merugikan diri, keluarga dan Negara.

"Kita mulakan dengan menutup pintu rasuah dengan menanamkan kesederhanaan, syukur, prihatin dan tidak mementingkan diri sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Nurhayati menjelaskan kesederhanaan adalah refleksi nilai ihsan yang tinggi dan cerminan keutuhan sesebuah negara.

Justeru, kesederhaan dalam sambutan Aidilfitri oleh pemerintah melambangkan negara ini meletakkan kesejahteraan sosial rakyatnya sebagai keutamaan.

"Begitu juga ketua keluarga yang mementingkan kesederhanaan amat memikirkan keseimbangan untuk terus memperkukuhkan keluarganya di masa hadapan dengan mengamalkan sikap berhati-hati dalam perbelanjaan dan setiap tindakan.

"Inilah ciri integriti penting yang mampu menghalang berlakunya ‘over spending’, penyelewengan dan ketirisan.

"Menerapkan prinsip kesederhanaan bermula daripada sambutan Aidilfitri mampu memastikan penggunaan setiap sumber yang ada di urus, dibelanja dengan bijak dan berhemah, cukup bagi memenuhi keperluan dengan tidak mendatangkan kesan negatif dan membebankan di masa hadapan,"katanya.

Katanya, hanya karakter yang teguh mampu menjadi benteng jiwa agar tidak mudah terjerumus dalam perangkap rasuah yang tidak bermaruah.

"Melalui suntikan transformasi nilai kesederhanaan yang diraikan dengan penuh rasa syukur, ikhlas dan penuh bermakna, InshaAllah keadilan sosial dan ekonomi di Malaysia akan terus berkembang pesat dengan sihat, selamat dan berkat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!