Hari pertama Op Selamat 20 catat 1,964 kemalangan

Aliran trafik kelihatan lancar setakat jam 4 petang tadi di Lebuhraya Utara Selatan PLUS arah Selatan. - Foto Bernama
Aliran trafik kelihatan lancar setakat jam 4 petang tadi di Lebuhraya Utara Selatan PLUS arah Selatan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,964 kemalangan jalan raya direkodkan pada hari pertama Op Selamat 20 sempena Aidilfitri di seluruh negara, pada Khamis.

Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 2,486 kenderaan dikesan terlibat dalam kemalangan di seluruh negara.

"Kereta mencatatkan angka tertinggi kemalangan iaitu sebanyak 1,704 buah atau 68.54 peratus, kenderaan pacuan empat roda (206), motosikal (279), kenderaan pelbagai guna (150), lori (91), van (44), bas (10) dan teksi (2),” katanya dalam hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani melancarkan Op Selamat 20 sempena Aidilfitri bermula 20 hingga 27 April ini.

Acryl memaklumkan, operasi selama lapan hari tersebut akan dilaksanakan oleh JSPT dengan tema ‘Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi’.

Fokus utama operasi itu adalah memastikan kelancaran aliran trafik, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

Acryl memaklumkan, PDRM menerusi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) akan memfokuskan pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah.

Justeru itu, beliau mengarahkan semua elemen melibatkan MPV, URB serta rondaan bit akan digerakkan di taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!