Sambut lebaran biar berpada

Keadaan sesak di Kompleks PKNS Shah Alam berikutan orang ramai yang berbelanja pada saat akhir sempena Aidilfitri pada Ahad. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Keadaan sesak di Kompleks PKNS Shah Alam berikutan orang ramai yang berbelanja pada saat akhir sempena Aidilfitri pada Ahad. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

SELEPAS sebulan berpuasa, hari ini Syawal yang dinanti akhirnya tiba.

Sungguh pun Aidilfitri menjadi perayaan terbesar bagi umat Islam, namun biarlah berpada-pada dalam segala perkara termasuklah menyediakan keperluan.

Trend berhutang menjelang hari perayaan seakan menjadi perkara biasa sehingga ada sanggup meminjam daripada pelbagai pihak untuk memuaskan kehendak diri sendiri.

‘Biar papa asal bergaya’ merupakan prinsip yang tidak sesuai digunakan dalam keadaan sekarang memandangkan ramai yang sedang bergelut dengan masalah kewangan.

Masyarakat perlu mengukur baju di badan sendiri dan melihat kemampuan berbelanja bagi menyambut perayaan agar tiada terbeban dengan hutang daripada pelbagai pihak.

Syarikat-syarikat pinjaman wang berlesen menjadi ikhtiar terakhir buat mereka yang terdesak mendapatkan bantuan terutama bagi yang sudah berkeluarga sudah tentu kos perayaan adalah tinggi.

Walaupun bukan semua berbuat demikian, namun permohonan pinjaman wang pada bulan Ramadan meningkat mendadak sehingga 20 orang sehari.

Jumlah pinjaman pula antara RM5,000 sehingga RM10,000 dan rata-rata memberi alasan menggunakan wang tersebut untuk berbelanja keperluan perayaan, membeli kereta baharu dan sebagainya.

Selain itu, antara faktor orang ramai membuat pinjaman adalah syarikat tidak memberi bonus atau gaji awal.

Justeru, ia bukan alasan untuk mengambil risiko membuat pinjaman bersama along walaupun prosesnya mudah, namun kadar bayarannya akan bertambah sehingga buntu untuk melangsaikan hutang yang sedia ada.

Masyarakat perlu mula merancang perbelanjaan dan bukan mengikut nafsu untuk kelihatan lebih baik berbanding orang lain dan tidak melupakan tujuan asal menyambut Aidilfitri.

Kedatangan Ramadan bukan sahaja mengajar menahan diri daripada makan dan minum tetapi turut menuntut umat Islam menjadi insan sederhana dalam menjalani kehidupan.

Di samping itu, tidak wajar sekiranya hari menyambut kemenangan ini diisi dengan pembaziran yang membawa kemudaratan terhadap diri sendiri walaupun tidak salah melakukan persiapan yang rapi.

Perbelanjaan yang bijak akan memudahkan segala urusan dan tiada yang akan menderita selepas tamat lebaran kerana tiada bebanan hutang yang melambung dan tidak seharusnya mengikut cara hidup orang lain.

Perancangan kewangan yang tidak mengikut tahap kemampuan akan menyebabkan individu itu terjebak dengan kancah hutang dan akan menjejaskan emosi apabila memikirkan masalah tersebut sehingga mengganggu hubungan baik sesama manusia.

Oleh itu, sempena meraikan kemenangan umat Islam, jangan cemari dengan hutang sehingga meninggalkan beban kepada diri dan keluarga.

Sambutan lebaran yang sederhana adalah lebih baik berbanding menangisi nasib selepas Aidilfitri kerana menanggung hutang yang banyak sehingga menjadi beban.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!