Agong, Raja Permaisuri Solat Aidilfitri di Masjid Negara

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kanan) berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara. -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kanan) berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Sabtu berkenan mencemar duli menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Negara.

Pasangan diraja itu berangkat tiba di masjid berkenaan pada pukul 8.15 pagi diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama ketika majlis berkenaan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Perdagangan Antarabangsa, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Sultan Abdullah dan jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimam dan dikhatibkan oleh Imam Masjid Negara, Ehsan Hosni.

Selesai solat, Seri Paduka Baginda beredar pulang sambil bersalam-salaman dengan rakyat.

Sementara itu, Ehsan ketika menyampaikan khutbah Aidilfitri menyentuh tentang keharmonian sesama anggota masyarakat sempena hari lebaran tersebut.

Menurutnya, meskipun manusia tidak boleh lari dari perbezaan, namun sesebuah kesatuan dan persefahaman tetap dapat dicapai.

Justeru, Hari Raya Aidilfitri merupakan antara titik permulaan bagi mengharmonikan hubungan sesama insan terutama bagi mereka yang beragama Islam.

Ehsan juga pada masa yang sama mengingatkan kepada para jemaah untuk tidak melepaskan peluang bagi merebut pahala di bulan Syawal pula dengan melakukan puasa sunat enam hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!