Penceramah luar perlu mohon kebenaran khas mengajar di Melaka
MELAKA - Penceramah tempatan dari luar Melaka atau luar negara yang ingin menyampaikan dakwah di negeri ini perlu mendapatkan kebenaran khas dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), kata Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.
Beliau berkata, ia adalah sebagai langkah pengawalan dalam memastikan penceramah yang datang tidak membawa elemen perpecahan dan khilafiah (perselisihan) antara masyarakat di negeri ini.
"Jika penceramah tempatan dari luar Melaka, kita akan periksa sekiranya mereka telah mendapat tauliah dari negeri asal mereka dan dalam masa yang sama mereka boleh datang dan membuat permohonan mendapatkan tauliah mengajar di Melaka.
"Manakala dari Melaka sendiri, kita akan semak sama ada individu itu telah mendapatkan tauliah mengajar dari kami,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Azim di Bukit Palah di sini pada Sabtu.
Abdul Halim berkata, bagi penceramah luar negara, mereka perlu mengemukakan permohonan dan dalam masa yang perlu menyertakan biodata serta sejarah perjalanan masuk ke Malaysia adalah secara sah.
"Kita tidak ada senarai hitam atau putih namun mereka (penganjur dan penceramah) haruslah jujur dan bertanggungjawab. Jika mereka tidak menghormati negeri asal dia bermastautin untuk mendapatkan tauliah, saya rasa kita agak sukar untuk menimbangkannya,” katanya.
Bagi penganjur pula, beliau berkata, mereka perlu mengemukakan permohonan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum penganjuran sebarang majlis di masjid atau surau yang menggunakan penceramah dari luar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!