Jual kek RM10 sejak tujuh tahun lalu
ALOR SETAR - Sepasang suami isteri di sini masih mengekalkan jualan kek mereka pada harga RM10 sejak ia mula dijual tujuh tahun lalu.
Pengasas Kek Kirana, Umil Izzah Nor Hilal,35 berkata, tiga jenis kek terbabit ialah kek kawin, kek hantu dan kek coklat lava yang seberat kira-kira 500 gram.
Katanya, walaupun kos bahan mentah semakin tinggi saban tahun, namun mereka mengenepikannya demi menghargai pelanggan setia.
" Ketiga-tiga kek ini mendapat permintaan tinggi, terutamanya kek kawin sebab ada dua 'topping', sebelah cheese sebelah coklat jadi pelanggan rasa lebih beruntung kerana ada dua pilihan dalam sebiji kek," katanya ketika ditemui di kedainya di Shahab Perdana di sini.
Umil Izzah yang mengusahakan perniagaan ini bersama suaminya, Mohd Fikrie Razali,38 berkata, selain itu, mereka mempunyai hampir 20 jenis kek pelbagai perisa yang dijual pada harga RM12 hingga RM15.
"Selain tiga jenis kek terbabit, kami juga ada lagi kek-kek lain seperti tornado,red velvet cheese, red velvet indulgence dan terbaru pistachio.
"Alhamdulillah pistachio yang baharu diperkenalkan Ramadan lalu mendapat sambutan baik, mungkin kena dengan tekak pelanggan," katanya.
Umil Izzah berkata, dia dan suami tidak mengikuti sebarang kelas bakeri sebaliknya membuat kajian sendiri dan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
" Alhamdulillah setakat ini respon daripada pelanggan sangat positif, dan ia secara tidak langsung menaikkan lagi semangat kami suami isteri untuk terus bertahan dalam perniagaan ini," katanya.
Menurutnya, walaupun kek mereka dijual pada harga murah namun bahan mentah yang digunakan tetap berkualiti tinggi.
" Kami sangat pentingkan kualiti sebab itu rasa kek masih sama seperti mula-mula diperkenalkan dulu," katanya.
Jelas Umil Izzah, setiap hari mereka perlu menyiapkan 300 biji kek untuk memenuhi permintaan pelanggan.
" Kek kami dibuat setiap hari secara kukus, supaya kualiti kek terjaga dan tidak berlaku kek rosak dan sebagainya.
" Insya-ALLAH selepas kedai kami beroperasi sepenuhnya nanti mungkin kuantiti kek setiap hari dapat ditingkatkan," katanya.
Ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini, kebanyakkan pelanggan mereka terdiri daripada golongan B40 dan pelajar.
" Bila harga kek murah, jadi ramai golongan yang kurang berkemampuan turut dapat merasa kek kami terutamanya yang ada keluarga besar.
"Insya-ALLAH selagi mampu bertahan dengan harga bahan mentah kami akan kekalkan harga RM10 hingga RM15 ini," katanya yang turut mempunyai ejen di sekitar Kedah dan Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!