'Adik doa kakak selamat'
KUALA TERENGGANU - Anak bongsu keluarga terlibat nahas membabitkan sebuah kereta dengan sebuah bas ekspres pada Jumaat lalu berharap agar kakaknya yang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini dapat diselamatkan.
Che Ku Fuqron Izzudin Che Ku Yusoff Ali, 11, berkata, dia tidak sabar untuk bertemu kakak kandungnya, Che Ku Batrisya, 18, setelah kedua ibu bapa mereka hilang sekelip mata akibat tragedi malang itu.
"Sedih, sebab satu-satunya umi (panggilan untuk ibu) dan abah (ayah) tak ada sekelip mata. Kakak pula cedera dalam kemalangan. Saya doa agar kakak dapat diselamatkan," katanya.
Menurutnya, dia terkilan kerana tidak dapat lagi bertemu dan bersama kedua ibu dan bapanya pada pagi Syawal.
"Umi dan abah dah belikan saya baju raya tema warna kelabu atau kuning untuk kami sama-sama pakai pada pagi raya.
"Namun, mereka dahulu pergi dan kami tak sempat beraya bersama," ujarnya kepada pemberita ketika menuntut jenazah kedua ibu bapanya bersama keluarga terdekat di Unit Forensik HSNZ, pada malam Jumaat.
Difahamkan, ketika kejadian Che Ku Fuqron Izzudin tiada bersama kedua ibu bapanya kerana sudah tiba di kampung lebih awal.
Sementara itu, ibu saudaranya, Che Ku Zainab Che Ku Embong, 60, berkata, dia bersedia menjaga Che Ku Fuqron dan Che Ku Batrisya jika dua beradik itu setuju untuk tinggal bersamanya.
"Insya-ALLAH, kalau dia nak duduk dengan saya, saya bersedia untuk jaga. Saya pun sudah tiada anak. Semua sudah berumah tangga.
"Untuk jaga mereka dua beradik termasuk persekolahan mereka bagi saya tiada masalah," ujarnya.
Mengimbau ketika menerima khabar kemalangan melibatkan adik lelaki dan adik iparnya, Che Ku Zainab berkata dia masih terkejut dengan kejadian itu.
"Masa dapat tau 'accident' tu saya rasa terkejut sangat macam nak pengsan. Tambah pula saya ada darah tinggi.
"Saya betul-betul tak sangka kejadian ni menimpa adik saya dan isterinya. Sebab mereka tak tunjuk sebarang perubahan," katanya.
Jumaat lalu sepasang suami isteri maut manakala anak perempuan mereka cedera selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah bas ekspres dalam kejadian di Kilometer 21, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Sungai Ikan, di sini, tengah hari Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan isterinya, Siti Faridaf Ahmad, 46, yang berada di tempat duduk belakang, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, anak pasangan berkenaan iaitu Che Ku Batrisya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan turut mengalami kecederaan dan dirawat di HSNZ.
Kejadian itu turut menyebabkan pemandu bas ekspres yang berusia 51 tahun serta lapan penumpang bas berkenaan mengalami kecederaan dan dirawat di HSNZ dan Hospital Setiu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!