Hatrik Riyad Mahrez pacu Manchester City

Riyad Mahrez (kanan) meraikan jaringan ketiga ketika berdepan Sheffield United dalam aksi separuh akhir Piala FA di Wembley. - Foto AFP
Riyad Mahrez (kanan) meraikan jaringan ketiga ketika berdepan Sheffield United dalam aksi separuh akhir Piala FA di Wembley. - Foto AFP
A
A
A

HATRIK Riyad Mahrez membolehkan Manchester City menamatkan rentetan kekalahan pada separuh akhir Piala FA selepas membelasah kelab Divisyen Dua, Sheffield United 3-0 di Wembley, pada Sabtu.

Selepas tersingkir pada separuh akhir untuk tiga musim terakhir, skuad Pep Guardiola tampil memburu kejuaraan treble ternyata tidak memberi ruang kepada The Blades.

Biarpun begitu skuad kendalian Paul Heckingbottom bermula cemerlang apabila mengecewakan City sepanjang separuh masa pertama sebelum Mahrez meletakkan pasukan pilihan itu di depan hasil penalti pada minit ke-43.

Mahrez kemudian melebarkan jaringan apabila menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-61 sebelum melengkapkan hatriknya lima minit kemudian dengan penyudah klinikal hasil hantaran Jack Grealish.

Sebagai rekod, ia adalah hatrik separuh akhir Piala FA pertama sejak Alex Dawson untuk Manchester United menentang Fulham pada 1958.

Sementara itu, Guardiola memuji kesungguhan Riyad Mahrez yang kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama The Citizens musim ini.

“Biarpun kurang mendapat minit perlawanan dalam kesebelasan utama The Citizens musim ini, namun kualiti Riyad sejak dari Leicester City masih kekal bersama City.

“Dia adalah pemain yang mempunyai mentaliti juara selain bercita-cita besar untuk menjaringkan gol. Menjaringkan gol pada penghujung separuh masa pertama adalah sangat penting,” katanya.

Sebagai rekod, City tidak melepaskan sebarang gol dan menjaringkan 17 gol untuk mara ke final Piala FA, dijangka berdepan Manchester United.

United kendalian Erik ten Hag akan menentang Brighton & Hove Albion pada Ahad.

Sementara itu, City masih dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), akan berdepan Arsenal awal pagi Khamis.

Selain itu akan ke Madrid berdepan penyandang juara Liga Juara-Juara, Real Madrid bagi separuh akhir pertama pada 10 Mei depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!