King Kazu cipta sensasi lagi
Bekas penyerang Jepun, Kazuyoshi Miura sekali lagi mencipta sensasi dalam kariernya pada Sabtu, apabila melakukan penampilan sulungnya untuk kelab Divisyen Dua Portugal, Oliveirense dalam usia 56 tahun.
Miura, yang menyertai Oliveirense secara pinjaman dari kelab Liga Jepun, Yokohama FC awal tahun ini, masuk pada minit ke-90 ketika Unionists menang 4-1 ke atas Academico de Viseu di Estádio do Fontelo.
Menurut laporan di laman web liga Portugal, penampilan Miura menjadikannya pemain bola sepak tertua beraksi dalam liga Portugis, dengan 56 tahun, satu bulan dan 24 hari.
Miura, yang dalam musim ke-38 bola sepak profesionalnya, telah bermain untuk beberapa kelab di seluruh dunia termasuk Palmeiras, Genoa, Dinamo Zagreb dan Vissel Kobe.
Portugal negara keenam Miura, yang digelar King Kazu, selepas memulakan kerjaya bola sepak bersama Santos, Brazil pada 1986.
Sebagai rekod, dia bermain 89 kali untuk Jepun, memenangi Piala Asia pada 1992, dan merupakan penjaring kedua terbanyak sepanjang masa dengan 55 gol.
Perlawanan antarabangsa terakhir Miura adalah pada 2000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!