Rumah Terbuka Malaysia Madani satu pembaziran
MELAKA - Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri dianggap satu pembaziran dan didakwa kesilapan besar yang dilakukan kerajaan Persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, keputusan itu jelas menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terdesak untuk memulihkan persepsi imej beliau yang rosak sebelum ini lebih-lebih lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir.
Menurutnya, kemungkinan kerajaan akan membelanjakan kira-kira RM2 juta atau lebih untuk setiap majlis rumah terbuka.
"Sebaiknya jumlah itu digunakan untuk membantu secara tersasar rakyat yang memerlukan dan menyalurkan duit tersebut kepada mereka secara langsung.
"PM sudah cukup terkenal, tidak perlu majlis besar dan banyak untuk jadi popular.Tindakan yang membazir ini akan memberi kesan buruk pada nama baik beliau," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer menolak dakwaan penganjuran itu satu pembaziran namun ia medium pemimpin bertemu rakyat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, penganjuran itu sememangnya memerlukan kos yang besar namun tidak sama nilainya untuk mengeratkan hubungan dengan rakyat.
"Walaupun majlis itu tidak dianjurkan di negeri ini, namun yakin penganjuran kerajaan Persekutuan itu membolehkan pemimpin bersama rakyat dan itu nilai paling besar sebenarnya jika nak disamakan dengan wang ringgit," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!