Tindakan SPRM sita dua akaun bank sulitkan operasi Bersatu
TAMBUN - Tindakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyulitkan operasi parti itu.
Ia diakui sendiri Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurutnya, ketika akaun itu dibekukan Januari lalu, pihaknya memohon agar SPRM melepaskan sejumlah wang untuk tujuan operasi seperti membayar gaji dan sewaan pejabat.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak mendapat maklum balas positif daripada pihak SPRM.
“Perkara itu lebih menggusarkan hati kami lah, tapi dalam masa yang sama, dari segi untuk berbelanja dalam kempen-kempen pilihan raya di keenam-enam negeri yang akan datang ini, tentunya kita terpaksa mencari jalan lain, bergantung kepada ‘public funding'.
“Nampaknya setakat sekarang ni apabila kita meminta orang ramai untuk memberikan sumbangan, (sambutan) amat-amat mengalakkan,” katanya.
Beliau ditemui ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri keluarga Datuk Mohd Radzi Manan dan Datuk Normah Hanum di Tambun Height, di sini, pada Ahad.
Menurut Ahmad Faizal lagi, walaupun mendapat sambutan menggalakkan, namun ia masih sukar kerana mereka tidak dapat membuat perancangan dari segi perbelanjaan.
Pada Khamis, media melaporkan SPRM menyita dua akaun bank Bersatu, selepas membekukannya pada Januari lepas.
SPRM dalam kenyataannya memaklumkan tindakan sita itu dibuat pada 11 April lepas setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!