Aliran trafik perlahan di lebuh raya utama petang ini
KUALA LUMPUR - Aliran trafik dilaporkan perlahan di lebuh raya utama setakat jam 5 petang ini berikutan pertambahan kenderaan sempena hari kedua sambutan Aidilfitri.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi berkata, trafik bergerak perlahan arah selatan dari Nilai ke Seremban sehingga Senawang dan Ayer Keroh ke Jasin serta Bukit Gambir ke Pagoh.
"Trafik juga perlahan arah utara dari Senai ke Sedenak, Simpang Renggam ke Machap sehingga Ayer Hitam dan Hentian Yong Peng Utara ke Pagoh,” katanya.
LLM menerusi ciapan di laman Twitter memaklumkan, trafik di Lebuhraya Pantai Timur 1 turut sesak sebelum Tol Gombak menghala timur.
Trafik sebelum Tol Temerloh menghala keluar turut dilaporkan berdepan situasi sama iaitu kira-kira 700 meter dari Kilometer 139.2 sehingga Tol Chenor menghala timur susulan pertambahan kenderaan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!