Jom meriahkan rumah terbuka PM, Jemaah Menteri di 6 negeri
SHAH ALAM - Orang ramai dijemput hadir ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri diadakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata,siri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri itu akan bermula di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah pada 29 April 2023.
"Manakala lokasi kedua di UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang iaitu pada 6 Mei 2023 (Sabtu) serta keesokannya pula diteruskan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan. Ketiga-tiga majlis berkenaan akan bermula pada jam 10 pagi hingga 2 petang.
"Selain itu, pihak kami juga akan mengadakan rumah terbuka di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan pada 12 Mei 2023 (Jumaat) dan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah,Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bertarikh 13 Mei 2023 (Sabtu)," ujarnya pada Ahad.
Tambah Fahmi, Selangor menjadi negeri terakhir dan penutup bagi Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dijangka diadakan pada 14 Mei 2023 (Ahad).
"Di Kelantan, Terengganu dan Selangor, program bermula pada jam 7 malam dan berakhir 11 malam. Semua dijemput hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani.
"Semoga Syawal ini memberi peluang untuk saling bermaafan di samping mengeratkan lagi silaturahim sesama kita," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!