Warga emas samun guna pistol mainan diberkas
IPOH - Seorang warga emas dipercayai suspek samun menggunakan pistol mainan berjaya diberkas pada Sabtu.
Lelaki berusia 66 tahun itu ditahan selepas melakukan samun ke atas sebuah kedai telefon di Jalan Onn Jaafar di sini sekitar jam 4 petang.
Turut ditemui beberapa barang kes antaranya sebuah beg galas, sepucuk pistol mainan dan dua bilah pisau.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dengan penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan dua lagi kes samun menggunakan modus operandi sama.
"Dua kes samun dengan bersenjatakan menyerupai pistol telah dilaporkan pada 25 Mac dan 5 April lepas di sekitar Pekan Bharu.
"Semakan dilakukan mendapati, suspek ini memiliki beberapa rekod kesalahan lampau jenayah dan narkotik," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.
Katanya, suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 29 April ini bagi siasatan lanjut.
"Ketiga-tiga kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun dengan bersenjata," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!