Juwaidi bawa pulang dua gangsa dari Turkiye
PEMANAH compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki menyambut Aidilfitri jauh di perantauan dengan membuat panahan yang memberikan dua pingat gangsa Piala Dunia Memanah Peringkat 1 di Antalya, Turkiye pada Sabtu.
Juwaidi mengekalkan tumpuannya untuk menamatkan, masing-masing acara individu lelaki dan pasukan campuran bersama gandingannya, Fatin Nurfatehah Mat Salleh.
Gandingan Juwaidi-Fatin Nurfatehah membawa pulang gangsa selepas memenangi persaingan sengit menentang wakil Itali, Marco Bruno-Elisa Roner dengan kiraan mata 19-18 setelah kedua-dua pasukan seri 157 mata.
Sebelum itu, mereka tewas tipis 155-157 kepada Ojas Pravin Deotale-Jyothi Surekha Vennam dalam separuh akhir sebelum pilihan kedua dari India itu menumpaskan Chen Chieh Lun-Chen Yi Hsuan dari Taiwan 159-154 untuk muncul selaku juara.
Juwaidi yang menduduki ranking ke-161 dunia, kemudian menambah kilauan pingatnya dengan mengecewakan pemanah nombor satu dunia dari Belanda, Mike Schloesser 148-146 dalam aksi penentuan pingat gangsa.
Juwaidi sebelum itu gagal mara ke pentas final selepas tewas 145-147 di tangan Jozef Bosansky dari Slovakia dalam saingan separuh akhir.
Rabu lalu, Juwaidi memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam pusingan kelayakan apabila mengutip 714 mata selepas 72 panahan bagi memadam catatan 709 mata yang dicipta pada Kejohanan Memanah Asia 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!