Laksana kerja penyelenggaraan jalan pada masa yang sesuai
SHAH ALAM - Tindakan meneruskan kerja penyelenggaraan jalan ketika orang ramai ingin pulang ke kampung menyambut Aidilfitri baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku.
Ini kerana tindakan tersebut bukan sahaja mengundang kesesakan teruk malah menyebabkan ramai yang jadi hilang sabar kerana perancangan balik kampung awal yang dibuat untuk mengelak 'jem' tidak menjadi.
Kesesakan teruk yang dilapor berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Timur tiga hari sebelum Syawal itu mengundang kecaman netizen yang rata-ratanya mempertikai kerja penyelenggaraan jalan yang tidak sepatutnya berlaku.
Malah ada juga yang mempertikai mengapa perlu ada kerja-kerja penyelenggaraan jalan sedangkan dalam masa setahun ada 365 hari untuk melaksanakan tanggungjawab mengurus lebuhraya itu.
Akibat daripada tindakan itu, lebuhraya menjadi sesak sejauh lebih 10 kilometer malah ada yang terpaksa 'bersidai' di tepi jalan kerana kenderaan kehabisan minyak.
Malah Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sepatutnya kerja-kerja penurapan jalan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak patut ditangguhkan dan tidak dilaksanakan ketika waktu puncak.
Bagaimanapun Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam maklum balasnya berhubung isu berkenaan memberitahu kerja penyelenggaraan jalan raya di seluruh negara ditangguhkan selama 20 hari sehingga 7 Mei hadapan.
Bagaimanapun menurut beliau, kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan sebelum ini bertujuan untuk pastikan jalan dalam keadaan selamat dan terbaik buat penggunanya.
Beliau berkata atas aduan yang diterima, kita bertindak menangguhkan kerja (penyelenggaraan) itu supaya tak ganggu pengguna semasa pulang menyambut perayaan.
Nanta berkata, pihaknya diberi jaminan pihak Plus Malaysia Berhad (Plus) akan lakukan yang terbaik seperti yang dikehendaki oleh KKR supaya menjamin keselesaan pengguna.
Apa jua alasan sekalipun pihak pengendali lebuhraya perlu peka dengan perkara ini kerana kerja penyelenggaraan berkenaan adalah kerja yang sememangnya boleh dirancang awal.
Apapun nasi dah jadi bubur, perkara sudahpun berlaku dan diharap ianya tidak berulang di masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!