Rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri versi Rahmah
MERAK Jalanan sambut baik kempen kerajaan yang memperkenalkan istilah Rahmah.
Jualan Rahmah, makanan Rahmah dan semuanya hendak ‘dirahmahkan’.
Ia termasuklah istilah yang Merak Jalanan guna pakai sendiri iaitu raya Rahmah.
Maksudnya, tak perlulah nak berbelanja sakan untuk beraya.
Cukuplah ala kadar sahaja mengikut kemampuan.
Dah alang-alang kerajaan memperkenalkan istilah Rahmah, jadi apa nak dimalukan jika raya pun kita raya Rahmah juga.
Merak Jalanan yakin tetamu yang datang ke rumah kita pun senang faham jika kita cakap raya tahun ni raya Rahmah.
Kalau ada yang rasa malu, belum terlambat lagi untuk kita kikis rasa malu itu.
Biarlah tahun ini kita beraya ala kadar mengikut ukuran baju di badan sendiri.
Jika dahulu baju baharu sehingga lima pasang tetapi kali ini sepasang dua okey sangat dah tu.
Juadah raya, jika tahun sebelumnya penuh satu meja, kali ini empat lima jenis sudah mencukupi.
Tidak perlu berlawan-lawan dengan jiran tetangga kerana percayalah mereka juga punya masalah sendiri, cuma kita sahaja yang tak tahu.
Duit raya? Kalau beri RM1 pun tak ada masalah.
Tak bagi terus pun tak apa. Kanak-kanak mungkin faham ibu bapa dah banyak keluar duit untuk perbelanjaan sekolah baru-baru ini.
Back to back belanja besar memang ‘pokai’ jawabnya.
Rumah terbuka? Kalau dah raya pun versi Rahmah, perlukah lagi rumah terbuka?
Pada pendapat Merak Jalanan, bolehlah jika hendak jamu air teh o suam bersama bihun goreng. Yang penting niat beraya bersama-sama itu ada.
Jika tak mampu, tak perlu buat.
Jangan paksa diri semata-mata nak kelihatan hebat.
Jadi kesimpulannya, rayalah bagaimana cara sekali pun asalkan tidak membebankan diri sendiri dan sesiapa.
Raya Rahmah pun okey juga, paling penting kita tetap berseronok bersama insan-insan tersayang meraikan Aidilfitri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!