Diburu along selepas raya

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

TAHUN ini nampaknya bukan lagi raya terkejut seperti tahun lalu.

Masing-masing sudah bersedia dari awal apa sahaja kemungkinan sama ada raya Jumaat atau Sabtu.

Justeru, tidak hairanlah apabila ada yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung lebih awal. Tak kalut kata mereka.

Lalu, apabila diumumkan Aidilfitri jatuh pada hari Sabtu, ketika itu kebanyakan daripada kita sudah berada di kampung halaman.

Secara tidak langsung, dapatlah membantu ibu bapa membuat persiapan raya. Mewah atau sederhana, itu terpulang kepada kemampuan masing-masing.

Jika ada wang lebih, apa salahnya kerana raya setahun sekali tetapi janganlah sampai berhutang seperti membuat pinjaman daripada along seperti didedahkan Sinar Harian pada Jumaat lalu.

Menurut Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Klang, Datuk B K Tan, jumlah peminjam along didapati meningkat sebanyak 30 peratus pada musim perayaan Aidilfitri dan antara faktor membuatkan mereka membuat pinjaman along kerana desakan hidup seperti harga barang yang semakin melambung tinggi, diberhentikan kerja serta masalah hutang, selain mahu membuat persiapan hari raya.

Kenyataan tersebut memang menakutkan apabila memikirkan risiko yang bakal dihadapi jika gagal membuat bayaran along mengikut tempoh masa dipersetujui.

Memang seronok ketika mendapat wang tersebut tetapi apabila duit di tangan sudah habis, bunga terus berjalan dan ketika itu tiada jalan keluar lain lagi selain membuat bayaran mengikut perjanjian.

Banyak contoh kes buruk yang telah terjadi apabila gagal membuat bayaran balik pinjaman along.

Paling menakutkan apabila seluruh keturunan akan diganggu selagi bayaran tidak dilunaskan.

Adakah kita mahu perkara tersebut berlaku? Jadi, ambil iktibar. Jangan buat pinjaman along hanya kerana mahu beraya sakan.

Mungkin klise tetapi meraikan Aidilfitri tidak semestinya dengan menggunakan wang yang banyak.

Berkumpul seisi keluarga dan sanak saudara, dapat memasak bersama, menikmati juadah yang disediakan, itu juga sudah memadai dan mencapai erti raya yang sebenar iaitu mengeratkan silaturahim dan saling bermaaf-maafan.

Pun begitu, bagi yang telah membuat pinjaman, belum terlambat lagi untuk rangka semula perbelanjaan.

Paling penting cubalah buat bayaran mengikut kontrak yang telah ditandatangani.

Jika terperangkap dengan masalah, cubalah minta bantuan dengan pihak-pihak yang berkenaan.

Kita tidak mahu diburu along selepas raya. Kita mahu selesaikan masalah dengan segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!