Tiga beradik lemas: Anak sulung tak sempat kahwin

Sathiyadevi dan Dawige lemas dalam kejadian di Pantai Cahaya, Port Dickson pada Ahad. (Kanan: Kalaivani)
Sathiyadevi dan Dawige lemas dalam kejadian di Pantai Cahaya, Port Dickson pada Ahad. (Kanan: Kalaivani)
A
A
A

PORT DICKSON - Tragedi lemas di Pantai Cahaya di sini pada Ahad yang mengorbankan tiga beradik menyebabkan pasangan suami isteri dari Banting, Selangor kehilangan anak sulung, kedua dan bongsunya sekelip mata.

Mangsa R Kalaivani, 30; R Dawige, 29, dan S Sathiyadevi,19, ke pantai peranginan itu bersama ibunya K Anchalay, 52; adik lelaki, R Veeran, 26 dan tunang kepada Kalaivani iaitu J Sathiswaran, 29.

Menyayat hati apabila hasrat anak sulung daripada enam beradik untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya pada November ini tidak kesampaian susulan tragedi berkenaan.

Sepupu mangsa R Thammanty, 30, berkata, Veeran sebelum ini dikejarkan ke Hospital Port Dickson kerana kritikal namun keadaannya stabil dan dijangka ditempatkan di wad biasa pada petang ini, manakala Sathiswaran pula selamat.

R.Thammanty, melihat gambar dua daripada tiga sepupunya yang maut akibat lemas.
R.Thammanty, melihat gambar dua daripada tiga sepupunya yang maut akibat lemas.

Menurutnya, emosi ibu saudaranya masih tidak stabil sehingga kini dan kerap menangis mengenangkan kejadian yang berlaku begitu pantas di depan matanya.

"Dia (ibu saudara) masih terkejut, begitu juga dengan pakcik R Ravi (bapa mangsa). Ini percutian pertama mereka di sini berikutan sebelum ini hanya ke Pantai Morib, Selangor untuk mandi laut dan bersantai.

"Kami sekeluarga hilang kata-kata sebab saya dan kesemua adik-beradik mangsa sangat rapat, malah kediaman kami juga selang beberapa rumah sahaja. Kebiasaannya kalau ke mana-mana mereka akan maklum tetapi kali ini berbeza," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Port Dickson pada Isnin.

Mengulas lanjut, Thammanty berkata, Kalaivani telah mengikat tali pertunangan dengan Sathiswaran sejak lapan tahun lalu dan sedang membuat persiapan untuk mengadakan majlis pra perkahwinannya.

R.Thammanty (kiri) dan saudaranya menunjukkan gambar tiga beradik yang lemas.
R.Thammanty (kiri) dan saudaranya menunjukkan gambar tiga beradik yang lemas.

"Mereka tinggal di Taiping,Perak dan pulang pada Sabtu lepas untuk menghabiskan waktu cuti bersama keluarganya di Banting,Selangor," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, tiga beradik perempuan lemas manakala adik lelaki ketiga-tiga mangsa kritikal ketika mandi di Pantai Cahaya dalam kejadian petang Ahad.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, operasi menyelamat telah dilakukan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Telok Kemang.

"Mayat mangsa seterusnya dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Bapa mangsa, Ravi (duduk, kanan) ketika menunggu proses bedah siasat di Hospital Port Dickson.
Bapa mangsa, Ravi (duduk, kanan) ketika menunggu proses bedah siasat di Hospital Port Dickson.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!