Salah pecah rekod penjaring terbanyak Liverpool dalam 100 perlawanan
DUA gol yang dijaringkan Mohamed Salah ketika membantu Liverpool membenam Huddersfield Town 5-0 awal pagi tadi telah mencipta sejarah baharu buat pemain itu bersama The Reds.
Gol yang dijaringkan itu tidak hanya meletakkan Salah sebagai senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan 21 gol dan hanya berbaki hanya dua perlawanan lagi, bahkan dia juga menjadi penjaring terbanyak Liverpool dalam 100 perlawanan.
Rekod menunjukkan bintang kebangsaan Mesir itu telah menjaringkan 69 gol dalam 100 penampilan pertama dengan Liverpool, sekali gus mengatasi rekod penyerang terdahulu.
Pada masa sama, Salah turut menyamai rekod Robbie Fowler (musim 1994/1995 dan 1995/1996) dan Luis Suarez (2012/2013 dan 2013/2014) dengan menjadi pemain ketiga kelab itu menjaringkan lebih 20 gol dalam dua musim berturut-turut.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp nyata bangga dengan catatan rekod tersebut dan menganggap Salah masih istimewa meskipun mendapat kritikan ramai pihak musim ini.
"Ini merupakan musim yang penting untuknya membuktikan sesuatu. Sebelum ini ramai yang mempersoalkan sama ada apa yang dicipta Salah musim lalu hanya sekejap sahaja.
"Tetapi dia telah membuktikan semuanya musim ini. Jelas dia sangat berusaha memecahkan rekod itu malam ini.
"Apabila dia menjaringkan gol keduanya, dia seperti melepaskan geram dan menunjukkan seolah-olah dia telah menawan seluruh dunia.
"Saya sangat gembira dengan apa yang dilakukannya dan percaya dia layak untuk mencipta rekod baharu ini," katanya.
Kemenangan besar ke atas Huddersfield itu membolehkan Liverpool kembali memintas Manchester City dengan berada di puncak EPL.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!