Empat rumah hangus dijilat api pada malam raya kedua
PONTIAN - Kemeriahan Syawal bagi empat keluarga di Kampung Seri Bunian, di sini bertukar suram selepas empat rumah yang disewa mereka musnah terbakar pada malam Hari Raya Aidilfitri kedua.
Ketika kejadian kira-kira 11 malam pada Ahad itu, semua penghuni rumah terbabit sedang tidur sebelum seorang daripada mereka terjaga selepas melihat api di bahagian dapur rumah.
Mangsa, Nur Suhaila Mohd Hapiz, 13, berkata, ibunya Aminah Borhan, 44, menyedari kejadian itu dan bertindak mengejutkan anak-anak dan jiran.
"Saya bersama dua orang adik berusia tiga dan sembilan tahun serta kakak berusia 15 tahun bergegas keluar dari rumah selepas dikejutkan ibu.
"Api yang marak dengan cepat menyebabkan kami sekeluarga tidak sempat untuk menyelamatkan semua barangan yang berada di dalam rumah," katanya ketika ditemui Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian di sini, pada Isnin.
Lebih menyedihkan, Nur Suhaila berkata, bapanya Mohd Hapiz Marian, 48, terpaksa dikejarkan ke Hospital Pontian kerana mengalami sakit dada selepas mengetahui rumah terbakar.
"Sewaktu kejadian saya tiada di rumah kerana berada di rumah kawan berbincang tentang kerja. Ayah kerja buruh.
"Selepas panggilan daripada ibu yang beritahu rumah terbakar, ayah terkejut dan sakit dada. Ayah dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan," katanya.
Nur Suhaila yang belajar di Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, risau tentang buku dan pakaian sekolahnya yang hangus terbakar.
"Saya bawa pulang semua pakaian sekolah kerana cuti Aidilfitri agak panjang. Ada juga buku rujukan yang saya bawa untuk belajar di rumah.
"Sekarang semuanya musnah terbakar, kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang," katanya.
Penduduk, Mohd Shahrul Hazween Md Shah,37, memberitahu, dia bersama penduduk yang lain cuba memadam kebakaran menggunakan air paip, namun tidak berjaya apabila empat kediaman itu musnah dijilat api.
"Ketika kejadian, saya sedang mengemas warung yang terletak lebih kurang 50 meter dari kediaman yang terbakar itu.
"Saya panggil penduduk yang lain untuk padam kebakaran tetapi api cepat marak kerana binaan rumah daripada kayu," katanya.
Ketua Kampung Kawasan 7, Kampung Seri Bunian, Mohd Jahidin Parman berkata, empat keluarga membabitkan 11 mangsa tersebut kini ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Kampung Seri Bunian.
Jelasnya, pelbagai bantuan telah disalurkan pemimpin setempat dan agensi kerajaan bagi meringankan beban keluarga yang terlibat dalam insiden kebakaran itu.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Pegawai Bomba Mahadir Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 11.02 malam.
Katanya, seramai 24 anggota bomba dari BBP Pontian, Pontian Baru dan Pekan Nanas bersama tiga jentera pemadam (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
"Semasa operasi pemadaman dilakukan, terdapat seorang anggota BBP Pontian telah mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terpijak paku, anggota tersebut telah diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Pontian.
"Operasi ditamatkan pada jam 12.54 malam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!