Aidilfitri Nurul Syuhada kian suram

Nurul Syuhada bersama bapanya sebelum arwah ditimpa sakit
Nurul Syuhada bersama bapanya sebelum arwah ditimpa sakit
A
A
A

MELAKA - Aidilfitri yang diraikan sudah pasti memberi kegembiraan kepada ramai orang, namun sebaliknya Nurul Syuhada Md Sharif bersedih apabila menyambutnya sendirian selepas kematian ibu bapanya.

Nurul Syuhada, 38, yang merupakan anak tunggal berkata, raya kali ini lebih sedih selepas bapanya, Allahyarham Sharif Ab Rahman, 69, meninggal dunia pada Mac lalu.

Menurutnya, sejak tujuh tahun lalu dia sanggup mengambil keputusan berhenti kerja sebagai kakitangan kerajaan demi untuk menjaga bapanya yang merupakan pesara kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang jatuh sakit.

Katanya, kesihatan arwah ayah yang pernah menjadi Ketua Cawangan UMNO Pernu Tengah mula merosot selepas pemergian arwah ibunya Azizah Bakar, 59, akibat kanser payudara dan selepas itu dia mengambil tanggungjawab menjaga bapanya.

"Dari keadaan bapa yang segak, sihat, berisi dan boleh berjalan, namun segalanya berubah dan kesihatan merosot selepas mak meninggal dunia.

"Saya selalu cakap dengan arwah, tak dapat nak gantikan arwah mak seperti mana mak jaga ayah dengan sempurna, tapi saya akan terus menjaga ayah hinggalah arwah menghembuskan nafas terakhirnya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Nurul Syuhada ketika menziarahi pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Pernu di sini, pada Isnin.
Nurul Syuhada ketika menziarahi pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Pernu di sini, pada Isnin.

Tambahnya, dalam tempoh itu juga dia sering muat naik video dan gambar kekasih hati di akaun TikTok miliknya, AnakHajiSharif bagi memberi motivasi kepada orang lain yang senasib dengannya.

Ujarnya, bukan sekadar berkongsi gelagat arwah bapanya, malah turut berkongsi ilmu cara untuk menukarkan lampin pakai buang bapa, cara memberi makan, menukar alas tidur, mandi, membawa menaiki kereta dan sebagainya.

"Sekarang hanya video dan gambar yang tinggal dan menjadi pengubat rindu kepada arwah," katanya lagi.

Tambahnya, berharap orang ramai yang masih mempunyai ibu bapa memanfaatkan masa dan kenangan bersama dengan mengambil video ataupun gambar sebagai kenangan.

"Mereka yang masih ada ibu bapa hargailah, jangan bila mereka tiada baru kita tangisi kekesalan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!