Felda United perlu belajar hidup tanpa Hadin
PENGENDALI Felda United, Mohd Nidzam Jamil mengakui terasa kehilangan kaptennya, Muhammad Hadin Azman selepas pasukannya sekadar seri 1-1 dengan Melaka United di Jengka, kelmarin.
Hadin terpaksa diketepikan The Fighters selama dua minggu akibat mengalami kecederaan pada lutut kirinya selepas berjaya menewaskan Selangor dalam aksi pusingan ketiga Piala FA baru-baru ini.
Mohd Nidzam bagaimanapun berkata, beliau dan pasukannya perlu belajar hidup tanpa kelibat Hadin jika mahu mengubah kedudukan mereka yang kini berada di dua tangga tercorot Liga Super.
"Dia (Hadin) kapten kita..mungkin dia bukan pemimpin yang baik di atas padang, tapi dia beri contoh yang baik dengan gaya permainan dia. Jose Mourinho atau sesiapa sekalipun pasti akan merindui kalau ada pemain yang baik seperti Hadin.
"Saya akui memang rasa kehilangan tetapi kita kena teruskan hidup dengan pemain-pemain lain yang ada dalam pasukan. Saya tahu walaupun ada pemain lain, tetapi susah untuk mereka isi tempat Hadin yang dah jaringkan banyak gol untuk kita. Memang tidak mudah.
"Tetapi kita kena belajar banyak tentang perkara ini kerana tidak selama-lamanya Hadin akan ada dengan kita," katanya.
Dalam aksi di Stadium tun Abdul Razak Jengka malam tadi, Felda United terlebih dahulu ketinggalan hasil jaringan Patrick Reitchelt di babak pertama sebelum bangkit menyamakan kedudukan di babak kedua menerusi Kei Ikeda yang menyempurnakan sepakan penalti.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan nyata kecewa dengan kegagalan anak buahnya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan itu.
"Saya tahu kita dapat satu mata, tetapi rugilah dua mata memandangkan kita dapat banyak peluang untuk menjaringkan gol di saat-saat akhir.
"Apapun, saya perlu memuji kesungguhan pemain yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari gol kemenangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!