Konsep Rahmah tidak harus jadi pertikaian - Salahuddin
PONTIAN - Idea konsep Rahmah tidak seharusnya menjadi pertikaian mana-mana parti politik, selagi ia dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan membangkitkan konsep ‘Rahmah’ sebagai cetusan idea bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sebagai isu remeh.
Katanya, inisiatif di bawah payung Rahmah kini menjadi sebahagian daripada identiti Kerajaan Madani, terus dapat menyantuni dan mendasari hidup rakyat, yang kini mendepani kos sara hidup.
"Saya tidak ada masalah sekiranya mereka (parti politik) hendak claim inisiatif Rahmah, yang penting bagi saya rakyat yang mendapat faedah.
“Seperti Tun Dr Mahathir Mohamad di era beliau sudah ada ‘baby’ iaitu Wawasan 2020, jadi saya rasa itu tidak menjadi pertikaian. Jadi bagi saya, biarlah era Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan konsep Madani dan memperkenal inisiatif Rahmah yang mana ia dapat menyantuni serta mendasari setiap keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka di kampung halaman di Serkat, pada Isnin.
Sebelum itu beliau diminta mengulas mengenai dakwaan Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim bahawa konsep Rahmah merupakan hasil cetusan Tun Mahathir.
Tambah Mahdzir, gagasan Rahmah itu pernah disebut Mahathir menerusi ucapan perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari, dua tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!