Tarik pukat disenaraikan dalam kalendar pelancongan Terengganu
MARANG - Aktiviti nelayan pesisir pantai sejak 30 tahun lalu iaitu menarik pukat akan dimasukkan di dalam kalendar pelancongan Terengganu untuk dijadikan sebagai acara tahunan bermula tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keunikan aktiviti itu perlu ditonjolkan dan diperkenalkan dalam kalangan generasi muda.
"Aktiviti ini merupakan aktiviti kebiasaan bagi penduduk di kawasan ini, namun kita lihat ia boleh jadi satu medan untuk merapatkan lagi hubungan antara anggota masyarakat termasuk perantau yang pulang berhari raya di kampung halaman.
"Ia bukan sekadar menangkap ikan tetapi aktiviti bersama masyarakat yang sangat unik untuk dilaksanakan di negeri Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Tarik Pukat Raya 2023 di Pantai Pulau Kekabu, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman serta isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman
Menurut beliau, selain Pantai Pulau Kekabu di Marang, lokasi lain juga akan dikenal pasti untuk dijadikan lokasi program berkenaan.
Difahamkan, seramai 300 hingga 400 peserta termasuk perantau yang turut sama memeriahkan acara itu.
Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Hassan Awang berkata, acara itu dipilih untuk diadakan pada hari ketiga Aidilfitri memandangkan kebanyakan daripada penduduk masih bercuti.
Jelasnya, aktiviti itu juga dilakukan di luar musim tengkujuh iaitu selepas Mac.
"Aktiviti ini sebenarnya mengajar erti susah payah nelayan dalam meraih sumber pendapatan di samping mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
"Orang tua dulu nak tangkap ikan tak perlu pergi jauh ke laut kerana memadai sahaja dengan memukat di pesisir pantai.
"Kalau dulu-dulu, kawasan pesisir pantai ini kaya dengan ikan seperti ikan tamban dan pelata. Kalau sekali tarik pukat tu dah boleh dapat banyak ikan dan ia bole diagihkan secara percuma kepada penduduk setempat sebelum dijual di pasar," katanya.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang memberitahu, untuk program kali ini pukat sepanjang 500 meter ditarik oleh seramai kira-kira 50 orang untuk mendapatkan ikan.
"Antara ikan yang dapat ditangkap dalam acara kali ini ialah kan derang, anak rapang dan ikan todak," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!