PRN: Pas seru perantau pulang pertahan kemenangan di Kelantan
KOTA BHARU - Anak-anak Kelantan di perantauan diseru pulang mempertahankan kemenangan Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sokongan padu perantau diperlukan bagi memastikan kejayaan kerajaan negeri yang dibentuk selepas PRN.
Beliau berkata, perkara itu sudah diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan kemenangan parti itu.
"Kita mahu terus menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran di bumi serambi Mekah ini. Perjuangan ini mungkin akan mengambil masa yang panjang antara 10 hingga 30 tahun lagi kerana banyak cabaran yang perlu dihadapi.
“Kita mahu sokongan padu semua rakyat Kelantan pada PRN nanti supaya program yang dirancang berjalan dengan lebih lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Aidilfitri Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan di Balai Islam Lundang, di sini pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu juga bersyukur kerana rakyat Kelantan sentiasa menunjukkan kecintaan terhadap negeri ini walaupun di mana mereka berada.
“Anak Kelantan sudah pasti pulang ke negeri ini setiap kali sambutan hari raya dan musim cuti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!