4 beranak ditemukan pengsan dalam MPV
BENTONG - Empat beranak termasuk dua kanak-kanak ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dipercayai terhidu gas karbon monoksida di Plaza Tol Bentong di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, kesemua mereka ditemui pengsan dalam kenderaan tersebut ketika anggota polis menjalankan rondaan Op Selamat 2023 di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini.
Menurutnya, situasi tersebut juga menyebabkan kenderaan itu melanggar pintu tol berkenaan.
"Mangsa dari Tok Bali, Kelantan menuju ke Balakong,Selangor ketika kejadian.
"Hasil pemeriksaan doktor, kesemua mangsa kekurangan oksigen dalam badan," kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah Zaiham, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Dalam kejadian tersebut, pegawai dan anggota bertugas Inspektor Ridhwan Kassim, Koperal Mohamad Azuwan Aziz telah memberi bantuan awal kepada mangsa dibantu oleh anggota peronda lebuh raya, orang awam dan pihak LPT.
Kesemua mangsa dikeluarkan dari kenderaan tersebut selain menghubungi pihak hospital untuk tindakan susulan sekali gus tindakan pantas anggota terlibat dapat menyelamatkan empat nyawa.
Sementara itu, anak sulung mangsa dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan perkembangan terkini keluarganya telah sedar selepas kejadian tersebut.
"Ayah dan saya ucapkan ribuan terima kasih kepada anggota-anggota dan semua yang terlibat membantu keluarga saya..Semoga ALLAH membalas kebaikan kalian," ujar dia lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!