3,000 rakyat teruja beraya bersama keluarga Diraja Kelantan

Sultan Muhammad V (kiri) dan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada penerima terpilih. (Gambar kecil: Awang Seman, Kamaruzaman) - Foto Sinar Harian
Sultan Muhammad V (kiri) dan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada penerima terpilih. (Gambar kecil: Awang Seman, Kamaruzaman) - Foto Sinar Harian
A
A
A

TUMPAT - Kira-kira 3,000 rakyat pelbagai kaum teruja meraikan Hari Raya Aidilfitri 2023 bersama keluarga Diraja Kelantan di Padang Kemahkotaan Pata Ndo, di sini, pada Isnin.

Kemeriahan sambutan Hari Raya With Me itu bermula pada jam 5 petang dengan keberangkatan tiba adinda Sultan Kelantan, Tengku Bendahara Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra diikuti bonda baginda, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan adinda Tengku Amalin A'ishah Puteri.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra dan pasangan, Che Puan Mahkota Kelantan, Sofie Louise Johansson.

Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah yang berangkat pada majlis di Pata Ndo, Tumpat.
Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah yang berangkat pada majlis di Pata Ndo, Tumpat.

Seterusnya, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mencemar duli berangkat bersama isteri baginda Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah.

Turut disampaikan sumbangan duit raya kepada 250 rakyat dan jamuan juadah istimewa hari raya seperti gulai kawah, kambing bakar dan sate.

Seorang petani, Kamaruzaman Daud, 51, berkata, amat terharu kerana pertama kali terpilih menerima duit raya yang disampaikan sendiri oleh Sultan Muhammad V.

“Musim kemarau ketika ini, padi tidak berapa menjadi dan menjejaskan pendapatan.

Rakyat Kelantan teruja memeriahkan sambutan Hari Raya With Me.
Rakyat Kelantan teruja memeriahkan sambutan Hari Raya With Me.

“Sumbangan ini dapat membantu meringankan beban untuk menyara isteri bersama enam anak kami,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Sementara itu, seorang pesara awam, Awang Seman Salleh, 61, berkata, amat teruja dapat menyaksikan keluarga diraja negeri itu pada majlis berkenaan.

“Saya datang seawal jam 3.30 petang untuk berjumpa Sultan Muhammad V walaupun kali kedua tetapi bertemu keluarga baginda ialah kali pertama.

“Sangat gembira apabila keluarga Diraja Kelantan cakna dan sudi berhari raya bersama rakyat terutama di Tumpat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!