25 minit pertama paling memalukan
PENGENDALI sementara Tottenham Hotspur, Cristian Stellini menyifatkan prestasi Spurs dalam 25 minit separuh masa pertama sebagai memalukan ketika dibelasah Newcastle United 1-6 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Malah tanpa berselindung Stellini menegaskan kekalahan ke-11 liga di St James' Park itu selepas mengharungi 32 perlawanan adalah yang paling teruk.
Spurs memulakan perlawanan dengan empat tonggak belakang, namun melepaskan lima gol pada 21 minit permainan.
Situasi itu mendorong Stellini untuk menggantikan pemain tengah Pape Matar Sarr dengan pertahanan Davinson Sanchez bagi kembali kepada tiga tonggak belakang.
"Tiada perkataan untuk menjelaskan persembahan seperti ini. 25 minit pertama mungkin yang paling teruk pernah saya lihat selama di sini.
"Saya harap sistem yang kami ubah, untuk memberi kami tenaga, adalah keputusan yang salah. Jika itu, itu tanggungjawab saya.
“Kami bermain dengan empat pemain di belakang dan jika ini kesilapan, itu adalah kesilapan saya," kata Stellini.
Kemenangan itu melonjakkan Newcastle ke tempat ketiga dengan 59 mata, enam lebih daripada Spurs di tempat kelima, yang juga bermain lebih banyak perlawanan.
Tottenham akan menjadi tuan rumah kepada Manchester United dalam aksi liga pada Jumaat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!