Sindiket lebih aktif pada musim perayaan
SHAH ALAM - Kegiatan penyeludupan barang bersubsidi ke negara jiran berlaku saban tahun, bagaimanapun ia dikesan lebih aktif ketika musim perayaan berikutan permintaan yang tinggi pada masa tersebut.
Taktik yang digunakan individu atau sindiket terbabit adalah dengan menjalankan operasi penyeludupan pada waktu malam dengan menggunakan jalan laut iaitu bot jongkong.
Mendedahkan perkara tersebut, Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, aktiviti penyeludupan barang-barang bersubsidi ini berlaku sepanjang tahun.
Bagaimanapun, katanya, pada musim-musim tertentu terutamanya perayaan, aktiviti ini dilihat lebih aktif berikutan tahap permintaan ke atas barangan seperti minyak masak, gas masak, petrol dan diesel adalah tinggi serta sangat menguntungkan pihak pembekal.
“Penyeludupan barang-barang bersubsidi ini berlaku kerana wujud elemen permintaan dan penawaran antara pihak yang mempunyai tujuan, keperluan dan kepentingan tersendiri.
“Pihak maritim telah mengambil inisiatif dalam mengekang dan membanteras aktiviti ini dengan melaksanakan operasi khas iaitu Op Pagar Laut.
“Melalui operasi ini, fokus diberikan dalam memperkukuhkan persempadanan negara dari diceroboh oleh unsur penyeludupan barang-barang bersubsidi selain keluar masuk imigran tanpa melalui pintu masuk,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian.
Mohd Rosli berkata, kegiatan penyeludupan yang biasanya beroperasi pada waktu malam hingga awal pagi itu menggunakan bot jongkong yang diubah suai dengan menambah ruang tangki sebelum dimuatkan dengan pelbagai barangan bersubsidi terutama minyak.
Jelas beliau, barangan bersubsidi seperti minyak masak akan dijual ke Filipina dengan harga yang tinggi.
“Barang kawalan ini dikesan dibawa ke jeti persendirian dan jeti awam tidak berdaftar. Penyeludup akan mengupah tonto dalam kalangan warga tempatan untuk menyampaikan maklumat mengenai pergerakan bot maritim atau pihak berkuasa lain,” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati terdapat pemborong minyak masak yang menjadi dalang selain pemilik lori serta bot jongkong.
“Kegiatan ini dilakukan secara bersindiket dan masing-masing mempunyai bahagian hasil daripada penjualan minyak masak bersubsidi yang dijual ke negara jiran.
“Ada juga penyeludupan ini dilakukan secara individu melalui sindiket dari luar untuk memudahkan pemasaran di negara jiran.
Penyeludupan ini yang dibuat secara individu juga menggunakan alasan menghantar stok untuk kegunaan penduduk Malaysia di pulau.
“Ada juga kes yang dilakukan oleh individu warganegara yang mempunyai hubungan keluarga dengan penduduk tempatan,” jelasnya.
Menurut Mohd Rosli, mereka yang terlibat dalam penyeludupan ada yang beranggapan pasukan keselamatan akan sibuk dan leka ketika musim perayaan.
Sedangkan, tegas beliau, pihak maritim sentiasa mempertingkatkan pengawasan kerana tahu permintaan tinggi barangan tersebut pada musim perayaan akan menyebabkan aktiviti penyeludupan lebih aktif.
“Kita terus giat menjalankan operasi khas bagi mengekang jenayah terbabit dan sentiasa selangkah ke hadapan terutama dari segi teknologi bagi memastikan strategi mereka sentiasa seiring dengan taktik penjenayah,” ujarnya.
Rampasan cecah RM400,000
Jelas beliau, statistik pada perayaan Aidilfitri tahun lalu merekodkan sembilan kes dengan nilai rampasan RM450,095 membabitkan sembilan tangkapan.
“Untuk pecahan, kes rampasan minyak subsidi mencatatkan empat kes bernilai RM293,560.
“Kes minyak diesel dan petrol bersubsidi pula membabitkan rampasan bernilai RM56,235 dengan dua kes, manakala tiga kes bagi tong gas bersubsidi merekodkan rampasan RM100,300,” katanya.
Mohd Rosli memberitahu, jenayah rentas sempadan merupakan rangkaian terancang.
“Penjenayah sering kali mengubah modus operandi untuk menyukarkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
“Selain terdapat jeti persendirian, kita mengenal pasti wujudnya lorong-lorong tikus yang akan berubah mengikut permintaan dan penawaran barang subsidi tersebut,” katanya.
Sebagai langkah mengekang jenayah ini, kata Mohd Rosli, pihaknya terus mempertingkatkan rondaan dan pemeriksaan ke atas bot-bot terutama yang berada di lokasi hotspot.
“Orang ramai diharap supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti jenayah serta sebarang pelanggaran undang-undang bagi membanteras kegiatan penyeludupan barang bersubsidi ini.
“Kita juga mewujudkan kerjasama pertukaran maklumat perisikan dengan agensi lain termasuk dengan polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.
INFO
(A) Siasatan/tindakan
- Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961
- Hukuman - Denda tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara untuk jangka masa tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
(B) Saluran maklumat
- Talian 999
- Web rasmi www.mmea.gov.my
- Facebook: Agensi Penguatuasaan Maritim Malaysia
- Instagram: Malaysia_coastguard
- Twitter: MYCoastGuard
- Tiktok: malaysiacoastguard
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!