Azeem rindu beraya bersama keluarga tersayang

Azeem yang kini berkelana di AS menganggap beraya bersama keluarga tersayang merupakan momen paling indah.
Azeem yang kini berkelana di AS menganggap beraya bersama keluarga tersayang merupakan momen paling indah.
A
A
A

BUAT pertama kali, pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi terpaksa berjauhan dengan ahli keluarganya apabila menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Mengakui merindui suasana Aidilfitri di tanah air tercinta, Azeem yang kini berkelana di Amerika Syarikat (AS) menganggap beraya bersama keluarga tersayang merupakan momen paling indah.

Bagaimanapun, atlet muda kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata, kerinduan yang mengusik emosinya itu perlu diketepikan buat seketika dalam misi mengembangkan kariernya.

“Ya... menyambut Aidilfitri bersama-sama anggota keluarga merupakan detik paling saya rindukan. Yang pertama terlintas di fikiran sekiranya mengenai raya, mestilah keluarga kerana saya berada jauh di perantauan.

“Namun, ini pengorbanan yang perlu dilalui bagi merealisasikan impian diri sendiri selain mengharumkan nama negara. Harap segala pengorbanan ini berbaloi.

“Saya mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir batin kepada semua yang berpeluang untuk beraya bersama keluarga, hargailah setiap masa yang ada di samping keluarga tercinta,” kata Azeem di laman Facebooknya.

Ketika ini, pelari berusia 18 tahun itu yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) melanjutkan pengajiannya di Universiti Auburn, AS.

Pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia Ogos tahun lalu, Azeem mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09 saat (s).

Azeem memadam rekod lama dipegang seorang lagi pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan yang mencatatkan masa 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak.

Pada Februari lalu, Azeem mula ‘menggegar’ negara Uncle Sam itu apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 60m dalam dewan pada Kejohanan Tiger Paw Invitational.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!