Masa untuk kerja keras

Apa akan terjadi sekiranya Malaysia terus gagal untuk cipta lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan. - Gambar hiasan
Apa akan terjadi sekiranya Malaysia terus gagal untuk cipta lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan. - Gambar hiasan
A
A
A

SEORANG pakar ekonomi terkemuka negara, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali mendedahkan, daya saing negara dalam menarik pelaburan asing semakin luntur.

Jelas beliau, ini disebabkan oleh persaingan dalam menarik pelaburan asing semakin sengit dan landskap persaingan global telah berubah dengan nyata.

Dari AS$175 bilion pelaburan asing yang masuk ke rantau Asia Tenggara dalam tahun 2021, sekitar tujuh peratus sahaja masuk ke Malaysia, manakala negara jiran, Singapura mengaut sebanyak 57 peratus.

Lebih mengejutkan, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina kini berada pada kedudukan lebih baik berbanding Malaysia.

Jika pada tahun 1980, sebanyak 35 peratus pelaburan asing menjadi milik Malaysia tetapi kini sekitar tujuh hingga lapan peratus sahaja.

Malah Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan melaporkan, dari tangga ke-10 terbaik dunia pada tahun 2010, kini Malaysia turun ke tangga 32 pada 2022.

Apa yang didedahkan oleh Noor Azlan ini sepatutnya membuka mata dan 'wake up call' kepada semua pihak untuk menyedari bahawa usaha lebih kuat dan kreatif amat perlu bagi melonjakkan semula ekonomi negara.

Malangnya, masih ramai tidak sedar, sebaliknya lebih ghairah berpolitik dan mahu mencetuskan ketidakstabilan dalam negara.

Apa akan terjadi sekiranya Malaysia terus gagal untuk cipta lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan? Sudah tentu rakyat yang akan hidup susah dan sengsara.

Dalam masa yang sama, kerajaan yang ada pada hari ini juga perlu bekerja lebih keras untuk memberikan penerangan kepada rakyat tentang usaha-usaha yang sedang dan telah dilakukan.

Ini kerana, masih banyak pihak mempunyai persepsi bahawa usaha kerajaan masih belum mencukupi.

Sehubungan itu, akhbar ini ingin mencadangkan supaya segala langkah-langkah pemulihan dan strategi pengukuhan ekonomi ini dibentangkan kepada rakyat pada setiap minggu supaya segala persepsi negatif itu dapat ditangani.

Rakyat perlu bersama-sama diberikan kefahaman agar dapat memberikan tumpuan penuh untuk menyokong segala inisiatif yang dilaksanakan.

Kita semua sepatutnya mengambil pelajaran daripada apa yang berlaku di berapa negara ketika yang sedang bertelingkah di antara satu sama lain. Jelas apa yang berlaku tidak menguntungkan sesiapapun sebaliknya hanya merugikan sahaja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!