‘Tauke’ Bangladesh mewah musim perayaan
SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendedahkan tiga lokasi di ibu negara yang menjadi ‘syurga’ penjualan barang tiruan.
Siasatan dan risikan KPDN mendapati barangan tiruan terutama pakaian dibawa masuk dari Bangladesh.
Malah, kegiatan itu juga didalangi oleh warga Bangladesh yang mengaut untung berlipat ganda terutama pada musim perayaan apabila pakaian yang dibawa masuk hanya sekitar RM10 sehelai bergantung kepada kualiti dan boleh dijual hingga mencecah ratusan ringgit.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, risikan pihaknya mendapati warga Bangladesh terlibat menggunakan dua kaedah untuk mendapatkan lesen bagi menjual di premis.
Menurut beliau, mereka akan berkahwin dengan wanita tempatan dan menggunakan nama isterinya itu untuk mendaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan.
“Kaedah kedua pula, mereka akan mencari warga tempatan yang sanggup untuk menggunakan nama bagi tujuan mendapatkan lesen dan membayar sejumlah amaun secara bulanan (gaji)," katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian.
Ariffin memberitahu, terdapat tiga lokasi yang dikategorikan sebagai hotspot iaitu di Jalan Petaling, Jalan Kenanga dan Chow Kit.
“Ini berdasarkan laporan statistik Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) dalam satu Kajian Semula Pasaran Terkenal 2022 ke atas lokasi pelancongan terkemuka di Jalan Petaling, sekali gus memberikan imej negatif kepada negara.
“Laporan turut menyebut Jalan Petaling ialah lokasi jualan barangan tiruan termasuk jam tangan, kasut, beg tangan, dompet, cermin mata hitam dan banyak lagi,” jelasnya.
Tambah beliau, kawasan di Jalan Kenanga pula menjadi tumpuan orang ramai dan para peniaga mendapatkan bekalan, kedua di Chow Kit dan ketiga di Jalan Petaling untuk jualan kepada para pelancong.
“Kegiatan ini adalah berskala besar terutama pada musim perayaan. Barang tiruan ini akan dibawa masuk menggunakan kontena,” katanya.
Menurut beliau, bagi mengelirukan pemeriksaan semasa di pelabuhan, barangan tiruan terutama pakaian yang dibawa masuk tidak menggunakan sebarang cop atau jenama popular.
Namun jelasnya, setelah selesai urusan di pelabuhan, kontena terbabit akan dibawa ke stor simpanan sebelum dipatenkan dan dicop dengan jenama terkenal.
“Kita pernah menyerbu premis percetakan ini dan ada juga stor yang turut menempatkan mesin cetak. Ini yang kita kesan hasil tindakan KPDN Kuala Lumpur sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, antara barang tiruan yang mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan ialah seluar jeans, baju dan kemeja T, kasut, beg dan jam tangan.
Ariffin memberitahu, KPDN percaya barang tiruan yang dibawa masuk itu akan dipasarkan ke seluruh negara dan ibu negara menjadi pusat utama simpanan.
“Pemborong-pemborong ini juga dalam kalangan warga Bangladesh. Mungkin atas faktor percaya, mereka bergerak tanpa membabitkan warga tempatan,” katanya.
Mengulas mengenai penjualan secara dalam talian, beliau tidak menafikan perkara itu.
“Terdapat pihak yang mengambil kesempatan kepada penjualan secara dalam talian kerana kononnya ia lebih selamat.
“Peniaga dalam talian memperolehi keuntungan yang lebih kerana mereka tidak memerlukan premis untuk berniaga dan boleh menjalankan perniagaan dari rumah yang tidak memerlukan kos tambahan sewaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!