Puak bertelagah di Sudan setuju genjatan senjata 72 jam
KHARTOUM - Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang berperang di Sudan bersetuju dengan gencatan senjata selama 72 jam bermula Selasa.
SAF berkata, Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi menjadi pengantara dalam gencatan senjata itu.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken mengumumkan perjanjian itu terlebih dahulu dan berkata, ia menyusuli rundingan panas selama dua hari.
Ini menjejaskan hospital dan perkhidmatan lain serta menjadikan kawasan kediaman sebagai zon perang.
Blinken dalam satu kenyataan berkata, dalam tempoh ini Amerika Syarikat menggesa SAF dan RSF untuk segera dan sepenuhnya menyokong gencatan senjata.
Beliau berkata Amerika Syarikat akan berkoordinasi dengan kepentingan awam serantau, antarabangsa dan Sudan untuk mewujudkan jawatankuasa yang akan menyelia kerja mengenai gencatan senjata kekal dan pengaturan kemanusiaan.
RSF mengesahkan di Khartoum bahawa ia telah bersetuju dengan gencatan senjata yang bermula tengah malam untuk memudahkan usaha kemanusiaan.
"Kami mengesahkan komitmen kami untuk gencatan senjata sepenuhnya semasa tempoh gencatan senjata," kata RSF.
Sementara itu, SAF berkata di laman Facebooknya, ia juga bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata itu.
Gabungan kumpulan masyarakat sivil Sudan yang telah menjadi sebahagian daripada rundingan mengenai peralihan kepada demokrasi menyambut baik berita itu.
Menjelang pengumuman gencatan senjata, serangan udara dan pertempuran darat menggegarkan Omdurman, salah satu daripada tiga bandar bersebelahan di wilayah ibu negara dan terdapat juga pertempuran di ibu negara Khartoum.
Asap gelap menyelubungi langit berhampiran lapangan terbang antarabangsa di tengah Khartoum, bersebelahan dengan ibu pejabat tentera dan ledakan tembakan meriam menggegarkan persekitaran.
Dalam pada itu, Majlis Keselamatan merancang mesyuarat mengenai Sudan pada Selasa. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!