Kampung Tanjung kekalkan tradisi 80 tahun

Suasana dalam surau sebelum dibahagikan kumpulan.
Suasana dalam surau sebelum dibahagikan kumpulan.
A
A
A

SEMENYIH - Tradisi takbir malam raya rumah ke rumah yang diamalkan sejak 80 tahun lalu menjadi satu kebanggaan kepada penduduk Kampung Tanjung.

Ketua kampungnya, Jaafar Hadiri, 65, berkata, program berarak secara beramai-ramai setiap kali menjelang 1 Syawal masih lagi diteruskan meskipun zaman, pemimpin dan penduduk kampung berubah.

Beliau yang merupakan anak jati Kampung Tanjung juga antara saksi yang melihat dari kecil tradisi itu dijalankan.

Jelasnya, aktiviti takbir raya tersebut dijalankan selepas selesai solat Isyak, apabila penduduk kampung dari pelbagai lapisan umur akan mengunjungi rumah masing-masing untuk bertakbir.

"Ketua keluarga diwajibkan untuk menyertainya, aktiviti ini akan diketuai enam imam kemudian dibahagikan kepada enam kumpulan, yang terdiri daripada 20 hingga 30 orang yang akan bertakbir ke setiap rumah.

"Terdapat 250 kediaman di sekitar sini dan lebih kurang 25 rumah setiap kumpulan akan menziarahi dengan mengambil masa dalam 20 minit untuk takbir dan 25 minit doa selamat di dalam rumah.

"Takbir akan bermula sekitar jam 9 malam dan selesai kira-kira 1 atau 3 pagi bergantung berapa banyak rumah yang ada," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Tambah Jaafar, program seperti ini bukan hanya mencetus suasana meriah malah keakraban dalam hubungan sesama insan sekali gus mencipta memori manis kepada penduduk.

Katanya, tradisi tersebut perlu kekal diterapkan supaya generasi muda tahu nikmat keseronokan melalui sisi agama dalam melaungkan nama Allah secara beramai-ramai.

Salah sebuah rumah yang dikunjungi untuk melakukan takbir raya.
Salah sebuah rumah yang dikunjungi untuk melakukan takbir raya.

"Selain itu, setiap rumah yang dikunjungi akan turut menyediakan pelbagai jenis makanan seperti rendang, lontong, laksa, nasi minyak, ayam masak merah dan banyak lagi.

"Kanak-kanak, saya rasa mereka yang paling gembira kerana bukan hanya makan, malah duit raya juga diberikan setiap kali mengunjungi kediaman," ujarnya.

Sementara itu, bagi penduduk Mohd Yatin Abu Idras, tradisi berkenaan dianggap satu tuntutan dalam Islam kerana menyampaikan perkara kebaikan dan mengagungkan kalimah ALLAH.

"Tradisi turun-temurun ini membawa suasana syahdu bagi umat Islam khususnya penduduk Kampung Tanjung selain dapat mengeratkan silaturahim.

"Jadi, program ini memang digalakkan dan menjadi kebanggaan kampung kita," katanya yang juga merupakan pendakwah Jabatan Agama Islam Selangor.

Penduduk, Ahmad Azamuddin Aman, 73, pula berkata, setiap kali menjelang malam raya, semua penduduk kampung tidak sabar untuk menyertai program tersebut termasuk 19 ahli keluarganya.

"Saya ada enam anak, tiga dah berkahwin jadi yang begitu teruja menantu-menantu terutama yang berasal dari Johor dan Kelantan kerana di kampung mereka tidak meraikan malam raya seperti ini.

"Sembilan cucu saya apatah lagi seronoknya dapat bercampur dan berjumpa ramai kawan dalam masa sama tidak melepaskan peluang untuk mengumpul duit raya," tambahnya.

Katanya, tradisi itu bukan hanya dapat mengeratkan silaturahim malah menyemarakkan semangat kekitaan antara satu sama lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!