Telekung raya terakhir pemberian arwah ibu
KUANTAN – “Tak sangka telekung hari raya yang baharu dibeli untuk kami berdua adalah yang terakhir sebelum ibu dan ayah pergi,” luah Nur Hafyza Elyana Faizul Azman, 22, anak sulong daripada tiga beradik yang kehilangan ibu dan ayahnya selepas terbabit dalam kemalangan di Setiu pada 25 Mac lalu.
Menurut Nur Hafyza, beberapa jam sebelum tragedi itu, ibunya sempat menghubungi dan menyuruhnya membayar telekung yang akan dihantar ke rumahnya di Taman Seri Balok di sini.
“Pukul 11 pagi dia WhatsApp suruh bayarkan telekung....ingatkan ibu punya rupanya dia belikan untuk saya dan adik Nur Farysya Eryany,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Hafyza yang mesra dengan panggilan Pija memberitahu selalu ibu akan beli tiga helai telekung, tetapi kali ini dia beli dua sahaja bagaikan tahu dia akan pergi buat selamanya.
“Ibu juga bercadang hendak tempah baju warna coklat gelap sedondon kami tahun ini, dia kata bila dah ada duit akan beli baju ayah dan adik Muhammad Daniel Dzulkarnain dahulu di ‘Shopee’, tapi lepas itu senyap macam tak jadi.
“Kami tak syak apa-apa sampailah pada hari kejadian jiran datang rumah maklumkan ayah dan ibu terlibat kemalangan,” katanya sayu.
Dalam nahas jam 1.30 tengah hari itu, Faizul Azman Awang, 43, dan isterinya, Habsah Ismail, 42, meninggal dunia di tempat kejadian sementara anak mereka, Muhammad Daniel Dzulkarnain, 13, cedera parah.
Nahas membabitkan lima kenderaan iaitu sebuah lori, Proton Exora, Nissan Navara, Perodua Axia dan Toyata Wish.
Kemalangan berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang dari melawat ahli keluarga yang meninggal dunia di Kuala Besut, Terengganu.
Difahamkan Muhammad Daniel Dzulkarnain kini beransur pulih dan masih di rawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Sementara itu Nur Farysya Eryany,19, berkata, bapanya yang periang berubah menjadi agak pendiam sehari sebelum kejadian.
“Kami sekeluarga sempat berbuka puasa pada Ramadan pertama, nampak ayah agak kepenatan sangat, mungkin dia letih bekerja di tempat kerja baharu sebagai tukang pengimpal,” katanya yang bekerja di sebuah kafe di sini.
Tambahnya lagi, lazimnya pada setiap kali Aidilfitri mereka akan berkumpul di rumah arwah nenek sebelah ibu di Cheneh, Kemaman dahulu.
“Memang meriah sebab kami akan sama-sama siapkan juadah pagi raya, tahun ini mungkin sunyi sikit sebab ibu dah tiada,” katanya.
Dalam pada itu Exora Owners Car Club Malaysia (EOCM) turut membuat kutipan derma ikhlas bagi membantu tiga beradik berkenaan.
Presidennya, Hezri Kusrin berkata, arwah Faizul Azman merupakan salah seorang ahli EOCM yang aktif dan banyak membantu menyelaras aktiviti sukarelawan di Pahang.
“Arwah suami, isteri ringan tulang dan setia untuk membantu menyelaras program EOCM di Pahang selama ini, jadi pemergiannya amat dirasai oleh keluarga besar kami,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!