Ayuh gegar Etihad!
MANCHESTER City mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menanti kunjungan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal di Stadium Etihad pada awal pagi Khamis ini.
Pengendali City, Pep Guardiola berkata, sokongan padu daripada penyokong sendiri mampu membangkitkan semangat buat anak-anak buahnya bagi memburu kemenangan.
Malah, Guardiola percaya berbekalkan sorakan gemuruh daripada penyokong The Citizens, barisan kendaliannya berupaya untuk membawa pulang tiga mata berharga.
“Perlawanan malam esok (awal pagi Khamis) ibarat final menentang kelab terbaik di England setakat ini apabila mereka berada lima mata di depan kami.
“Saya tahu walaupun Arsenal seri dalam tiga aksi terakhir, tetapi cara mereka bermain dalam keseluruhan perlawanan, ia sukar untuk disekat.
“Ini adalah perlawanan yang sangat penting kepada kami kerana kemenangan bakal memberikan kelebihan besar untuk kami menjuarai liga," katanya.
Sebelum ini, Guardiola secara terbuka telah mengkritik penyokong City kerana mendakwa mereka kurang memberi sokongan kepada anak-anak buahnya.
Kenyataan Guardiola itu nyata kurang disenangi segelintir penyokong City yang menganggap mereka sudah 'memberikan segala-galanya' sejak beberapa musim lalu.
“Saingan EPL adalah tempoh 11 bulan bekerja, bekerja, bekerja dan kami mahu merebut peluang ini. Kami tidak boleh melakukannya seorang.
“Saya harap seluruh Etihad penuh dengan penyokong Manchester City. Kami berharap mereka dapat memenuhi setiap ruang di stadium nanti," ujar Guardiola.
Biarpun ketinggalan lima mata di belakang Arsenal, City kini berada di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan liga apabila beraksi kurang dua perlawanan berbanding skuad The Gunners itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!