Pasrah hilang anak sulung, bayi dalam kandungan sekali gus

Muhammad Ubaidillah Zikri memangku jenazah anak sulungnya, Alisha Mardhiah ketika tiba di Tanah Perkuburan Padang Polis Batu Rakit, di Kuala Nerus pada Selasa.
Muhammad Ubaidillah Zikri memangku jenazah anak sulungnya, Alisha Mardhiah ketika tiba di Tanah Perkuburan Padang Polis Batu Rakit, di Kuala Nerus pada Selasa.
A
A
A

KUALA NERUS - Bapa kepada kanak-kanak yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh, Kemaman pada Isnin pasrah dengan kehilangan anak sulung dan bayi dalam kandungan isterinya.

Kejadian berlaku pada petang Isnin itu mengorbankan bapa mentua tirinya, Abd Halim Ismail, 71, dan anaknya, Alisha Mardhiah yang berusia dua tahun.

Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 30, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga baru pulang dari menghadiri rumah terbuka sepupunya di Perasing, Kemaman.

"Masa kejadian tu mak mentua sedang memangku anak saya di tempat duduk belakang dan ayah mentua duduk bahagian hadapan penumpang manakala isteri di tempat duduk penumpang belakang.

"Sewaktu kereta dirempuh, anak tersembam dan berlaku pendarahan dalam otak. Anak saya disahkan meninggal dunia di unit kecemasan Hospital Kemaman dan ayah mentua pula meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah anak dan bapa mentuanya di Tanah Perkuburan Padang Polis Batu Rakit, di sini pada Selasa.

Menurut Muhammad Ubaidillah Zikri, isterinya, Nurul Fatihah Azman, 28, yang patah tangan kanan dan luka pada kaki kanan masih trauma dan terkejut dengan kejadian.

"Saya dan isteri sedih dengan kehilangan anak sulung kami. Lebih pilu apabila isteri keguguran. Bayi dalam kandungan isteri yang berusia lima bulan turut meninggal dunia.

"Mungkin hentakan yang kuat menyebabkan isteri keguguran. Walaupun begitu, kami berdua pasrah dengan ketentuan Ilahi dan berserah kepadaNya atas ketentuan ini," ujarnya.

Muhammad Ubaidillah Zikri memberitahu, Aidilfitri kali ini menjadi sejarah buat dirinya dan keluarga.

Katanya, dia bekerja di Kuala Lumpur dan pulang ke kampung halaman di Batu Rakit pada Khamis iaitu tiga hari sebelum berlaku kejadian yang menyayat hati itu.

"Saya sebenarnya PJJ (perkahwinan jarak jauh) dengan isteri. Pada bulan puasa lalu saya ada balik jumpa anak isteri dua minggu sekali. Waktu itu anak masih seperti biasa dengan saya.

"Raya kali ini saya perasan anak sulung nampak ada sikit berubah iaitu dia tidak mahu bersama saya dan sentiasa mahukan ibunya. Saya agak pelik sebab kebiasaannya dia mahu juga duduk dekat dengan saya.

"Tak sangka ia merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya," katanya.

Muhammad Ubaidillah Zikri menyiram pusara anak sulungnya dan bapa mentua ketika pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Padang Polis Batu Rakit, di Kuala Nerus pada Selasa.
Muhammad Ubaidillah Zikri menyiram pusara anak sulungnya dan bapa mentua ketika pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Padang Polis Batu Rakit, di Kuala Nerus pada Selasa.

Jenazah Abd Halim dan Alisha Mardhiah dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 12 tengah hari pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kemalangan membabitkan dua buah Proton Persona yang berlaku pada jam 4.47 petang pada Isnin itu turut mengorbankan empat penumpang lain.

Mangsa terkorban ialah Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2 tahun; Tuan Yah Dollah, 61; dan Rosliza Mat Hussin, 38.

Katanya, pemandu kereta tersebut iaitu Shah Rezzal Zanzalani, 27, dan tiga penumpang lain iaitu Wan Muhamad Adam Wan Muhamad Khalil, 11; Wan Alya Farhana Wan Muhamad Khalil,15; dan Nur Syafana Nasha Saiful Azwan,2, mengalami kecederaan.

Beliau memberitahu, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca apabila kereta dipandu Shah Rezzal yang dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun ke Cheneh, Kemaman hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Keadaan itu menyebabkan kenderaan dipandu Muhammad Ubaidillah Zikri dari Perasing, Kemaman menghala ke Batu Rakit, Kuala Nerus tidak dapat mengelak kerana jarak yang dekat menyebabkan kedua-dua kereta itu bertembung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!