Reman suspek kes rogol disambung
IPOH - Tempoh reman suspek kes rogol seorang wanita yang ditemui dalam keadaan trauma di sebuah rumah di Fair Park di sini disambung enam hari lagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, reman terhadap lelaki berusia 43 tahun itu disambung sehingga Isnin depan.
Menurutnya, lanjutan tempoh reman itu bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan ke atas suspek di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
"Tahanan reman ke atas suspek telah berakhir hari ini (Selasa) dan dibenarkan disambung selama enam hari lagi sehingga 1 Mei depan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Dalam kejadian 18 April lalu, seorang wanita cedera di kaki akibat terjatuh dari rumahnya ketika menyelamatkan diri selepas diperkosa seorang penagih.
Mangsa berusia 38 tahun itu ditemukan orang awam dalam keadaan trauma dan menangis sebelum pasukan dari Balai Polis Sungai Senam memberi bantuan sekitar jam 9.15 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!