Rumah terbuka bermotif politik, membazir - Pas
SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas Pusat menyifatkan langkah Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri di negeri tertentu hanya bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, majlis tersebut menyebabkan berlaku lebih banyak pembaziran semata-mata untuk memenuhi kerakusan politik Anwar dan kerajaan campuran itu.
“Ia tidak bersifat mengurangkan pembaziran bahkan lebih banyak pembaziran terpaksa dilaburkan semata-mata memenuhi kerakusan politik Anwar Ibrahim dan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Apakah semua pihak akan menerima bulat-bulat bahawa penganjuran jamuan Hari Raya Aidilfitri di negeri PRN semata-mata tiada udang di sebalik batu? soalnya dalam satu hantaran pada Selasa.
Jelas beliau, rakyat sudah bijak menilai dan membaca kebobrokan tindakan Kerajaan Madani yang semakin tempang ketika ini.
“Satu demi satu prinsip perjuangan tinggal sekadar ucapan yang manis didengar di halwa telinga. Namun, tindakan dan amalan berpolitik yang diamalkan PH dan BN tidak lagi mencerminkan perjuangan yang didambakan,” ujarnya.
Jelasnya, DUPP menegaskan bahawa tidak sepatutnya kesemua tindak tanduk kerajaan hanya bersifat politik.
Tambah Ahmad, sikap politik kepartian tersebut perlu dihentikan dengan mengamalkan profesionalisme dalam menguruskan hal ehwal pentadbiran.
"Kita seringkali mengingatkan agar kerajaan pada hari ini menjadi sebuah kerajaan kepada semua. Malangnya, kerajaan omongan reformasi Madani hari ini indah khabar dari rupa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!