Jururawat gigih berkhidmat walau sakit
KUALA LUMPUR - Seorang jururawat masih bertugas seperti biasa walaupun berada dalam keadaan tidak sihat dengan jarum 'drip' air di tangan.
Pada Selasa, tular gambar dikongsikan pemilik akaun Facebook, Chun Guan mengenai keadaan jururawat yang didakwa bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetap menyarung uniform dan sedang bekerja.
Pada hantaran itu turut dikongsikan perbualan bersama jururawat tersebut ketika sedang berurusan di hospital berkenaan.
Jururawat tersebut memaklumkan dia berada dalam keadaan tidak sihat dan perlu bertugas kerana kekurangan staf.
Perkongsian tersebut menarik perhatian netizen yang kagum dengan komitmen wanita tersebut serta mendoakan kesihatan jururawat berkenaan.
Tidak kurang yang meluahkan rasa hormat terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan yang tetap berkhidmat walau dalam keadaan tidak sihat.
"Saya sangat menghormati pasukan perubatan. Mereka sangat dedikasi untuk selamatkan nyawa orang. Tiada kata lain selain ucapan terima kasih banyak-banyak. Mereka adalah malaikat sejati," komen ditinggalkan Sean Loke.
"Tabik hormat kepada unsung hero! Moga beliau cepat sembuh," tulis Rosie Hong.
Seorang warganet, Niharikka Manisha memberitahu tetap bertugas walau dalam keadaan tidak sihat.
"Kita orang staf selalu macam itu, sakit pun datang kerja," tulisnya.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada HKL mengenai kesahihan perkara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!