Pesakit kanser yang dirampas MyKad meninggal dunia

Lina Samuel (JPN mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Lina Samuel yang meninggal dunia pada Selasa akibat kanser kolon tahap empat.)
Lina Samuel (JPN mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Lina Samuel yang meninggal dunia pada Selasa akibat kanser kolon tahap empat.)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Lina Samuel yang meninggal dunia pada Selasa akibat kanser kolon tahap empat.

Kisah Lina sebelum ini pernah dilaporkan oleh media kerana tidak mempunyai kad pengenalan untuk mendapatkan rawatan bagi penyakitnya di hospital.

JPN dalam kenyataan berkata, Lina dilaporkan meninggal dunia pagi Selasa berdasarkan laporan akhbar The Borneo Post.

Menurut kenyataan tersebut, pihaknya sebelum ini telah bertemu dengan mendiang dan membuka semula kertas siasatan bagi kes beliau.

“Namun atas dasar keprihatinan dan kebajikan mendiang, JPN telah mengeluarkan Dokumen Pengenalan Sementara (KPPK11) pada 13 April 2023.

“Malah menurut kenyataan rasmi Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak pada 12 April 2023 juga memaklumkan mendiang tetap diberikan perkhidmatan rawatan sewajarnya di Hospital Miri secara berterusan tanpa sebarang prejudis walaupun semasa tempoh ketiadaan dokumen pengenalan diri tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Lina hidup tanpa kad pengenalan dan ia menjadikan kehidupannya sukar kerana temu janjinya dengan doktor terpaksa dibatalkan.

Menurutnya, dia membuat permohonan menukar alamat selepas JPN Lawas merampas MyKad miliknya.

Pada 10 April, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan siasatan JPN mendapati warga emas itu bukan warganegara Malaysia, sebaliknya berasal dari Indonesia.

Dalam pada itu, ulas kenyataan JPN, orang ramai yang mempunyai persoalan atau masalah berkaitan pendaftaran sama ada urusan kelahiran, kad pengenalan, kematian, perkahwinan dan kewarganegaraan untuk segera hadir ke mana-mana 212 pejabat JPN di seluruh negara untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan.

“Orang ramai juga boleh memperoleh maklumat berkaitan perkhidmatan Jabatan ini di portal dan pelbagai platform media sosial rasmi JPN,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!