Musa Hitam selamat jalani pembedahan otak akibat terjatuh
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam telah selamat menjalani pembedahan otak selepas dimasukkan ke hospital akibat terjatuh semasa berkebun baru-baru ini.
Perkembangan itu dikongsikan oleh bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Tan Sri Nazir Razak melalui hantaran di Instagram rasminya pada Selasa.
Nazir berkata, keadaan bekas Timbalan Presiden UMNO itu semakin pulih malah sudah boleh berjenaka seperti dulu.
“Menziarahi Tun Musa Hitam di hospital hari ini. Dia mengalami kejatuhan yang sangat teruk semasa berkebun seminggu yang lalu dan memerlukan pembedahan pada otaknya.
“Beliau (Tun Musa) menghabiskan waktu pada hari jadinya ke-89 pada tahun di atas meja bedah. Secara keseluruhannya proses pemulihan beliau adalah sangat ajaib setakat ini.
“Tun Musa sudah boleh melawak kembali. Mari kita sama-sama mendoakan beliau sembuh dengan sepenuhnya, boleh kembali bermain golf dan sebagainya,” katanya dalam hantaran pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!