Dakwa polis ugut, rasuah

Wei Yoong ditemani Chon Siang menunjukkan salinan laporan polis berhubung kejadian yang dibuat malam tadi.
Wei Yoong ditemani Chon Siang menunjukkan salinan laporan polis berhubung kejadian yang dibuat malam tadi.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengusaha kedai cermin kenderaan mendakwa menjadi mangsa tindakan kasar dua anggota polis peronda selepas enggan tandatangan kertas saman atas kesalahan kononnya kenderaan dipandu menggunakan cukai jalan tidak sah.

Mangsa,Tan Wei Yoong, 46 dari Taman Fairmount di sini mendakwa, dia dipaksa tandatangan kertas saman tersebut walaupun kesalahan yang dinyatakan itu baginya tidak berasas.

Katanya, dia juga kesal apabila anggota tersebut mengeluarkan pistol dan gari serta mengugut untuk menahan dan memasukkannya ke dalam lokap atas tuduhan enggan memberikan kerjasama.

Dia mendakwa, anggota polis berkenaan juga cuba mengambil kesempatan dengan meminta suapan sebagai balasan untuk tidak diambil tindakan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia sedang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu DMAX milik syarikat dalam perjalanan dari Semambu ke Damansara di sini, kira-kira jam 12.20 tengah hari, semalam.

“Saya terkejut bila anggota berkenaan kata cukai jalan kenderaan milik syarikat itu tidak sah dan hanya boleh digunakan untuk kenderaan persendirian sedangkan dokumen itu diperbaharui dan dikeluarkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Mereka berkeras mengatakan cukai jalan itu tidak sah sebelum ditanggalkan dan saya dikeluarkan disaman walaupun semua dokumen berkaitan ditunjukkan,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Wei Yoong mendakwa, anggota terbabit kemudian bersetuju untuk tidak mengambil tindakan dan meminta sejumlah bayaran sebagai balasan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia enggan berbuat demikian dan saman dikeluarkan terhadapnya atas dua kesalahan iaitu salah guna cukai jalan dan tidak pamerkan dokumen tersebut.

“Saya tidak berpuas hati kerana mereka tidak jelaskan secara jelas bentuk kesalahan yang saya lakukan dan mengeluarkan saman atas kesalahan tidak pamer cukai jalan sedangkan mereka yang mencabutnya,” katanya.

Dia berkata, semasa anggota tersebut menulis kertas saman, dia mengakui ada merakam nombor dan nama mereka serta kenderaan peronda yang digunakan untuk simpanan dan pengesahan.

“Bila saya ambil gambar, mereka mula marah dan tuduh saya cuba ganggu tugas penjawat awam dan ketika itu salah seorang daripada mereka mengeluarkan pistol dan cuba mengari saya.

“Mereka merampas telefon dan padamkan semua gambar diambil serta mengugut untuk menahan dan memasukkan saya ke dalam lokap untuk siasatan,” katanya.

Wei Yoong menunjukkan cukai jalan kenderaan syarikatnya yang dicabut anggota polis terbabit selepas mendakwa dokumen itu tidak sah.
Wei Yoong menunjukkan cukai jalan kenderaan syarikatnya yang dicabut anggota polis terbabit selepas mendakwa dokumen itu tidak sah.

Wei Yoong berkata, bimbang dikenakan tindakan atas kesalahan yang tidak jelas, dia akhirnya akur dan menandatangani kedua-dua kertas saman tersebut sebelum dilepaskan.

Katanya, dia tidak berpuas hati dan mendakwa anggota terbabit cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya dan wujud unsur salah laku dalam tindakan tersebut.

“Perkara ini saya rujuk kepada ADUN Teruntum, Sim Chon Siang dan atas nasihatnya saya membuat laporan polis di Balai Polis Beserah kira-kira jam 11 malam tadi.

“Perkara ini juga sudah dilaporkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini supaya siasatan dilakukan ke atas anggota terlibat,” katanya.

Sementara itu, Chon Siang berkata, sebagai anggota polis, mereka sewajarnya telus dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Menurutnya, tindakan mengugut dengan menunjukkan senjata api seperti didakwa mangsa sangat tidak wajar.

‘Saya sendiri tidak pasti tujuan mereka berbuat demikian, namun ia tidak wajar dan boleh menimbulkan ketakutan kepada orang ramai.

“Jika benar mereka yang ditahan melakukan kesalahan, jelaskan kesalahan mereka dan keluarkan saman tanpa kompromi. Jangan pula mereka ambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri dengan meminta rasuah dan sebagainya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali yang dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan yang dibuat mangsa.

Menurutnya, beliau turut menerima laporan daripada anggota berkenaan dan dua saman itu memang dikeluarkan atas kesalahan yang dinyatakan.

“Saya telah arahkan agar siasatan dijalankan berkaitan laporan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!