Penunggang motosikal maut tercampak
KOTA BHARU - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 36 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kemalangan kira-kira jam 12.15 tengah hari itu ketika mangsa berusia 21 tahun menunggang motosikal jenis Honda dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
"Mangsa dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti nombor pendaftaran di hadapannya sebelum bertembung dengan kereta Perodua Axia yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal tercampak ke atas jalan manakala motosikalnya bergesel dengan sebuah van yang sedang menghala ke arah Gua Musang.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Forensik Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memberitahu, pemandu kereta Perodua Axia mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Chiku 3 manakala pemandu van tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 099121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 017-2830392
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!