Fenomena Bossku, PH semakin 'gabra', kata Najib
KODIANG - Fenomena Bossku digeruni PH sehingga penganjuran program itu dibuat laporan polis oleh pemimpin parti itu di Kedah.
Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setiap kali mengunjungi negeri ini, terdapat pihak tertentu membuat laporan polis berhubung kehadirannya dan beliau berasa pelik dengan perbuatan itu.
Menurutnya, ini membuktikan PH semakin ‘gabra’ dengan perkataan ‘Bossku’ dan kerjasama erat antara BN dan Pas menerusi penyatuan ummah.
“Saya hairan, bila saya datang ke Kedah, ada sahaja laporan polis dibuat. Februari lalu saya ke Langkawi ada laporan polis terhadap saya, datang Jerlun dan Tanjung Dawai kali ini pun ada laporan polis dibuat,” katanya ketika berucap pada ceramah perdana perpaduan ummah, di Kampung Hutan Palas, malam tadi.
Najib yang popular dengan panggilan Bossku itu berkata, kegelisahan PH itu menyaksikan bukan sahaja bursa saham negara jatuh tetapi ‘saham’ PH juga semakin merudum.
“Kalau sebelum PRU14, mereka cakap apa pun rakyat terima, kebelakangan ini mereka cakap apa pun sudah jadi pakatan haprak,” katanya.
Menurutnya, fitnah yang ditabur sebelum PRU14 menyebabkan dirinya dicaci dan dibenci rakyat, sehingga tewas pada PRU lalu.
“Apa tujuan mereka? Tujuannya matlamat menghalalkan cara, matlamat nak menang dan cara pembohongan. Kita kalah tak mengapalah walaupun perit,” katanya.
Najib yakin rakyat kini telah membuka mata terhadap kesilapan lalu.
“Sebab itu, Bossku semakin popular,” katanya.
Terdahulu, Najib meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar Mahad Tahfiz Yayasan Ar Riyaadah dan turut menyampaikan sumbangan wakaf al-Quran kepada pelajar terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!