Halang kereta bergerak kerana risau kesihatan suami

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

PORT DICKSON - Bimbang akan kesihatan suaminya menyebabkan seorang wanita bertindak menghalang kereta Proton Wira dipandu lelaki itu di persimpangan lampu isyarat di Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson, di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, wanita berusia 32 tahun itu bertindak demikian selepas suaminya yang berusia 58 tahun tidak menghiraukan nasihatnya supaya tidak keluar rumah.

"Kedua-dua mereka yang merupakan warga Indonesia telah tampil ke balai polis Port Dickson pada hari ini untuk memberi penjelasan sebenar kejadian berlaku selepas mengetahui ia tular di media sosial.

"Pasangan itu yang tinggal di Port Dickson memberitahu, sebelum kejadian berkenaan mereka telah bertengkar di rumah kerana si suami hendak pergi ke rumah anak mereka di Teluk Kemang.

"Bagaimanapun, wanita itu menghalang suaminya keluar memandu kenderaan kerana bimbangkan kesihatannya," katanya dalam kenyataan kepada media pada Selasa.

Kata Muhamad Mustafah, lelaki itu baharu sahaja mendapat rawatan di Hospital Port Dickson.

"Tanpa menghiraukan isterinya, dia telah keluar dari rumah dengan memandu kenderaan.

"Wanita itu kemudiannya membonceng motosikal ditunggang jirannya dan mengesan lelaki itu di lampu isyarat Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson.

"Wanita itu kemudian bertindak menghalang kereta dipandu suaminya untuk meneruskan perjalanan," katanya.

Beliau berkata, pasangan itu memohon maaf atas perbuatan dilakukan dan mengakui ia boleh membahayakan diri sendiri dan orang awam lain.

Sebelum ini video aksi pasangan itu tular di Twitter dan menerusi ciapan yang dimuat naik itu, pemilik akaun tersebut menyatakan ' tak tahu apa yang berlaku, hope (harap) dipermudahkan segala urusan akak tu'.

Susulan dari itu polis kemudiannya menggesa individu terlibat untuk tampil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!