Pendaki meninggal dunia akibat AMS, isteri stabil
KOTA KINABALU - Seorang pendaki Gunung Kinabalu meninggal dunia akibat sindrom akut gunung (AMS) ketika menerima rawatan di Hospital Ranau, awal pagi Selasa.
Alexzander Kueh Check Boo, 45, disahkan meninggal dunia jam 4.30 pagi selepas dibawa turun ketika mendaki gunung bersama isterinya yang turut mengalami AMS.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, mendiang bersama isterinya mula mendaki puncak Gunung Kinabalu pada Isnin dan tiba di Panalaban namun dipercayai mengalami AMS.
Katanya, kejadian bermula apabila isteri mendiang mengadu sakit kepala dan sesak nafas kira-kira jam 9 malam.
"Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (Mosar) telah memberinya oksigen yang diperlukan untuk pertolongan cemas namun pada jam 10 malam, pasukan Penyelamat memutuskan untuk mengusungnya ke Timpohon Gate dan kemudian ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.
"Selang empat jam kemudian iaitu dua kilometer dari Timpohon Gate, mendiang pula mengalami kesukaran bernafas dan kekejangan otot sebelum diusung ke Timpohon dan turut di bawa ke hospital yang sama namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi," katanya dalam kenyataan.
Christina telah meminta pihak Taman-Taman Sabah (TTS) yang terletak di bawah Kementeriannya membantu keluarga mangsa.
"Keadaan isteri stabil selepas sembuh dari AMS. Namun, dia kehilangan pasangannya yang setia," katanya.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan semua pendaki gunung supaya lebih bersedia secara fizikal dan mental sebelum memulakan pendakian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!